Bot penumpang ditahan beroperasi tanpa lesen

Bot penumpang ditahan kerana beroperasi tanpa lesen petang semalam.
Bot penumpang ditahan kerana beroperasi tanpa lesen petang semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah bot penumpang ditahan pada jarak 0.1 batu nautika dari utara Pulau Aman kerana didapati beroperasi tanpa lesen, 4.30 petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot itu ditahan ketika dalam perjalanan membawa pelancong dari Jeti Pulau Musang menghala ke Jeti Pulau Aman.

Menurutnya, ketika ditahan, terdapat seorang lelaki iaitu operator bot berusia 42 tahun turut berada dalam kenderaan tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen dan dokumen yang sah serta tiada perlindungan insurans bot.

"Bot berkenaan bersama operator bot ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, APMM Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan negeri ini.

"Saya mengingatkan pemilik bot penumpang agar sentiasa mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

"Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya.

Artikel Berkaitan: