2,200 warga KMPP sertai Malaysia #QuranHour

Seramai 2,200 warga KMPP termasuk pelajar menyertai Malaysia #QuranHour yang diadakan bermula jam 11 pagi tadi.
Seramai 2,200 warga KMPP termasuk pelajar menyertai Malaysia #QuranHour yang diadakan bermula jam 11 pagi tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai 2,200 warga Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) di sini termasuk penuntut menyertai Malaysia #QuranHour peringkat Pulau Pinang yang diadakan hari ini.

Pengarahnya, Rozaini Ahmad berkata, beliau amat berbesar hati dan bersyukur apabila KMPP dipilih sebagai lokasi penganjuran program ilmiah tersebut.

Menurutnya, melalui penganjuran tersebut, ia dapat meningkatkan nilai kefahaman sahsiah terhadap pelajar dan kakitangan Islam di pusat pengajian berkenaan.

"Program ini saya lihat satu program yang besar yang akan menambah nilai kefahaman sahsiah pelajar. Selama ini, kolej ada menganjurkan program Islamik seperti ini dan dengan adanya Malaysia #QuranHour di KMPP hari ini, ia dapat menambahkan lagi nilai kualiti kepada pelajar.

"Kelebihan program ini adalah warga KMPP terutamanya pelajar dapat mendalami, menghayati dan menguasai al-Quran dengan lebih lagi.

"Ini yang kita mahu tanamkan kepada setiap pelajar. Alhamdulillah, objektif kita tercapai dan saya gembira dengan kehadiran hari ini," katanya ketika ditemui tadi.

Abd Ghani (kiri) dan Amirul Aiman memegang poster Malaysia #QuranHour selepas selesai membaca al-Quran di KMPP tadi.
Abd Ghani (kiri) dan Amirul Aiman memegang poster Malaysia #QuranHour selepas selesai membaca al-Quran di KMPP tadi.

Rozaini berkata, pihaknya tiada halangan sekiranya KMPP akan dipilih pada masa akan datang menjayakan Malaysia #QuranHour atau program seumpamanya.

Artikel Berkaitan:

"Kami di KMPP sentiasa terima dengan tangan terbuka sekiranya program yang bagus seperti ini diadakan lagi di sini kerana ia memberi manfaat kepada semua warga KMPP.

"Selain itu, ia juga membantu pelajar untuk mendalami dan mencintai al Quran.

"Saya pasti, program ini akan berjaya jika ia kerap diadakan di sini kerana pelajar dan kakitangan kolej dilihat ada kemahuan untuk membaca al-Quran," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Unit Pendidikan Islam dan Moral, Abd Ghani Yusof berkata, Malaysia #QuranHour perlu diteruskan pada tahun seterusnya kerana ia sebuah program yang bagus.

Beliau berkata, beberapa manfaat dapat dikongsi antaranya menyemarakkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan terutamanya penuntut KMPP, di samping memberi semangat kepada remaja di luar untuk mencintai al-Quran.

"Bukan sahaja membaca tetapi menghayati maksud yang ALLAH sampaikan melalui al-Quran. Terima kasih kerana memilih KMPP sebagai lokasi penganjuran Malaysia #QuranHour peringkat negeri kali ini," katanya.

Bagi penuntut jurusan akaun, Amirul Aiman Abdul Wahab, 18, berkata, peluang membaca al-Quran beramai-ramai merupakan satu nikmat yang tidak dilepaskan sambil mengakui teruja berpeluang menjadi peserta Malaysia #QuranHour.

"Semoga program ini dan seumpama Malaysia #QuranHour dapat dianjurkan lagi untuk pelajar seperti kami menyertainya," katanya.