UKM ambil langkah pantau Nur Fitri

Nur Fitri
Nur Fitri
A
A
A

BANGI - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara berterusan melaksanakan langkah-langkah pemantauan sewajarnya terhadap genius matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin yang melanjutkan pengajian di universiti itu.

UKM dalam satu kenyataan berkata, ini termasuk merujuk Nur Fitri ke Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz bagi melihat status kesihatan mentalnya.

Menurutnya, UKM turut menjalankan kaunseling individu bagi memahami isu serta membantu Nur Fitri memperbaiki diri dari aspek kesejahteraan psikologi.

“UKM secara berterusan melaksanakan langkah-langkah pemantauan melalui Unit Kaunseling yang merupakan salah satu unit di bawah Hal Ehwal Pelajar.

“Antara langkah-langkah yang diambil adalah pemantauan secara berterusan dan berkala oleh pihak Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, selepas setiap sesi dijalankan, laporan psikologi dan kesihatan mental pelajar akan diberikan kepada Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti untuk pemantauan dan mengambil langkah-langkah yang perlu.

“Sepanjang pengajian di UKM, fakulti dan penyelia akan terus memantau aktiviti akademik pelajar. Selain bantuan kepakaran dalaman, UKM turut bekerjasama dengan keluarga dan agensi berkaitan dalam memantau keadaan pelajar.

“UKM juga diminta untuk memberikan pengawasan berterusan kepada pelajar dengan kerjasama daripada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kemasukan Nur Fitri ke universiti itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan netizen selepas satu 'posting' di Twitter mendakwa dia sedang menyambung pengajian di UKM menjadi tular.

Pelajar pintar matematik yang melanjutkan pelajaran di Imperial College di London itu menggemparkan negara apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, United Kingdom pada 2015.

ARTIKEL BERKAITAN: Pangkalan data pesalah pedofilia akan dikemaskini