Aktivis demokrasi Hong Kong ditahan

Joshua dilaporkan ditangkap pagi tadi. - FOTO EPA
Joshua dilaporkan ditangkap pagi tadi. - FOTO EPA
A
A
A

HONG KONG - Aktivis demokrasi Hong Kong, Joshua Wong ditangkap sehari sebelum demonstrasi besar-besaran yang dijadualkan berlangsung esok.

Maklumat penangkapan Joshua itu dimaklumkan oleh Parti Demosisto menerusi akaun Twitter mereka jam 7.30 pagi tadi.

"Dia tiba-tiba dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta persendirian. Peguam kami mengikuti kes itu sekarang. Sehingga kini tiada maklumat dari pihak polis," kata Demosisto di Twitter.

Aktivis berusia 22 tahun yang juga Setiausaha Agung Parti Demosisto itu telah dipenjarakan sebanyak dua kali sebelum ini.

Pada 2018, dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana peranannya dalam demonstrasi pro-demokrasi 'Gerakan Payung' pada tahun 2014.

Terdahulu, Polis Hong Kong mengharamkan penganjuran demonstrasi berskala besar esok kerana faktor keselamatan awam.

Polis berkata, larangan itu dikeluarkan berdasarkan wujud kebimbangkan berlaku perbuatan keganasan dan kemusnahan oleh peserta demonstrasi.

"Pihak polis merujuk kepada tindakan sebelum ini di mana penunjuk perasaan tidak hanya membawa bahan bakar dan alat untuk menghalang jalan tetapi juga membawa bom petrol, batu bata, tombak, tiang besi serta senjata buatan untuk menghancurkan harta awam, melanggar peraturan sosial, dan mencederakan orang lain," kata polis.

Artikel Berkaitan:

Demonstrasi bermula apabila penunjuk perasaan menuntut kerajaan membatalkan perbincangan mengenai rang undang-undang ekstradisi yang membenarkan suspek satu kes diadili di negara lain termasuk China.

Penunjuk beranggapan sistem kehakiman di China sering berat sebelah terutamanya jika ia berkaitan dengan Hong Kong sebagai wilayah autonomi yang masih dianggap sebagai sebahagian daripada kedaulatan Beijing.

Bermula dengan penolakan rang undang-undang ekstradisi, demonstrasi turut menuntut membebaskan Hong Kong dari China. - AFP