Trump dakwa AS hampir capai kemenangan dalam perang dengan Iran, tawar peluang rundingan

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa Washington kini berada di ambang kemenangan dalam peperangan terhadap Iran, sambil menawarkan peluang kepada Tehran untuk mencapai satu perjanjian bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.
Bercakap kepada anggota tentera AS sempena sambutan Thanksgiving dari kediamannya di Mar-a-Lago, Florida, Trump berkata Amerika Syarikat kini hampir mencapai kemenangan, sambil menegaskan beliau akan menentukan bila konflik itu harus ditamatkan.
"Kemenangan sudah hampir. Ia akan berlaku apabila saya mahukannya, secara jujurnya," kata Trump.
Pada masa sama, beliau menegaskan pentadbirannya masih membuka ruang rundingan dengan Iran meskipun konflik berterusan.
"Kami cuba bertindak baik. Kami memberi mereka setiap peluang untuk mencapai perjanjian dan menyelamatkan banyak nyawa, tetapi saya tidak pasti sama ada mereka akan mengambil peluang itu," katanya.
Trump turut mempersoalkan sama ada kepimpinan Iran bersedia menerima tawaran tersebut.
Kenyataan itu dibuat ketika usaha diplomatik untuk menamatkan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran masih belum menunjukkan sebarang kemajuan ketara.
Setakat ini, Iran belum memberikan maklum balas rasmi terhadap kenyataan terbaharu Trump itu, manakala pertempuran dan serangan antara pihak yang terlibat terus mencetuskan kebimbangan mengenai kestabilan rantau Asia Barat. - Agensi/Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
