Bekalan air kerap terputus

Tangki yang dibekalkan Ranhill SAJ di kawasan Taman Flora Heights.
Tangki yang dibekalkan Ranhill SAJ di kawasan Taman Flora Heights.
A
A
A

PENDUDUK di Taman Flora Heights tertekan apabila sering berdepan masalah terputus bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon Flora Heights, Mok Meng Haw berkata, bulan ini sahaja sembilan kali penduduk berdepan masalah itu.

Menurutnya, perkara itu berlarutan selama 18 tahun dan semakin kritikal lima tahun kebelakangan ini.

“Kadang-kadang tak ada air langsung sampai dua hari. Saya perlu hubungi pihak Ranhill SAJ minta hantar air,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Terbuka Taman Flora Heights, Bandar Seri Alam di sini semalam.

Menurutnya, pihak Ranhill SAJ menyediakan lima tangki air di sekitar kawasan perumahan didiami kira-kira 6,000 penduduk itu.

Sementara itu, seorang penduduk, Bong Kim Pin, 59, berkata, dia bimbang memikirkan menantunya yang bakal melahirkan bayi tidak lama lagi.

“Memang kena simpan air dalam tong besar dalam bilik air dan dapur tapi tak boleh simpan banyak sebab sempit. Asyik tiada air, mesin basuh pun sudah rosak.

“Kami sekeluarga sembilan orang dengan budak kecil dua orang, memang air tak cukup. Menantu pula tengah tunggu masa nak bersalin. Dah bersalin lagi nak pakai air banyak untuk cucu baru,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kim Pin menunjukkan air yang disimpan di rumahnya.
Kim Pin menunjukkan air yang disimpan di rumahnya.

Dia juga bimbang sekiranya semua orang menyimpan air namun tidak ditutup dengan baik akan menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Jirannya, Chong Le Thau, 50, pula berkata, dia menjadi tertekan apabila sering terputus bekalan air.

“Nak masak pun tak senang. Air tak ada sampai berhari-hari, baju kotor kena simpan sampai seminggu. Di rumah ada empat orang. Memang banyak pakai air jadi saya nak beli tangki lagi besar,” katanya.

Suami Le Thau, Weng Wore Huat menunjukkan bekalan air yang disimpan di rumah mereka.
Suami Le Thau, Weng Wore Huat menunjukkan bekalan air yang disimpan di rumah mereka.

Sementara itu, Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang bertemu dengan penduduk terbabit semalam berkata, dua projek jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan segera bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air di Taman Flora Heights, Bandar Seri Alam.

Katanya, pihaknya mencapai kata sepakat selepas mengadakan perbincangan dengan wakil Ranhill SAJ Isnin lalu.

“Untuk jangka masa pendek, projek online pumping akan dibuat di mana kita akan pam dari Tangki Servis Masai. Projek ini melibatkan kos yang tinggi.

“Sistem perpaipan sementara akan dipasang sepanjang 300 meter. Tender projek itu akan dibuka awal September,” katanya.

Menurutnya, untuk jangka masa panjang pula, pemasangan paip baharu sepanjang 2.5 kilometer dengan kos RM5 juta bermula tahun depan akan mengubah punca bekalan air ke Tangki Seri Alam F.