Kerajaan perlu pantau bahan buangan sisa kimia kilang

Dr Japareng (tiga, kanan) bersama panel Wacana Hala Tuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di Taman Rinting, Masai hari ini.
Dr Japareng (tiga, kanan) bersama panel Wacana Hala Tuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di Taman Rinting, Masai hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan perlu meneliti kembali senarai inventori buangan terjadual yang direkodkan di pusat pelupusan sisa toksik Kualiti Alam bagi memastikan semua sisa daripada kilang dilupuskan dengan cara yang betul.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Japareng Lalung berkata, meskipun kuantitinya sedikit atau kepekatannya rendah, buangan terjadual tidak sepatutnya berakhir di sungai seperti yang berlaku pada Sungai Kim Kim.

"Di Sungai Kim Kim ditemui antaranya benzene, limonene dan toulene sedangkan ini semua buangan terjadual dan tidak sepatutnya ada dalam sungai. Walaupun kepekatannya kurang sekalipun, buangan terjadual tidak sepatutnya berakhir di sungai kita.

"Buangan terjadual mesti dilupuskan di Kualiti Alam, Negeri Sembilan dan di sana ada inventori berapa banyak mereka menerima bahan buangan terjadual ini.

"Kalau kilang itu hasilkan bahan buangan terjadual tapi tidak berakhir di Kualiti Alam, maksudnya dibuang ke tempat lain. Maka JAS (Jabatan Alam Sekitar) perlu siasat ke mana mereka lupuskan," katanya kepada Sinar Harian selepas Wacana Hala Tuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di Taman Rinting, Masai hari ini.

Beliau menegaskan, undang-undang itu jelas dan perlu dipastikan agar setiap kilang mematuhinya.

"Itu undang-undang. Kalau tak sampai ke Kualiti Alam, maksudnya mesti ada kelemahan, jadi saya rasa JAS kena lihat perkara ini.

"Mungkin juga mereka berdepan kekangan kakitangan, kalau tak cukup mereka kena tambah. Minta pada Pusat untuk tambah.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada terima ugutan, buatlah laporan polis dan jangan berselindung jika ada masalah sebab isu ini sangat penting. Kalau ada isu atau masalah, kerajaan juga perlu menjelaskan kepada rakyat," katanya.

Beliau tidak menolak pelupusan secara haram dibuat demi mengaut keuntungan berlebihan susulan kos pelupusan buangan terjadual menelan kos yang tinggi.

"Kalau nak lupus di Kualiti Alam memang bukan murah, mungkin sebab itu ada yang mengelak dengan ambil jalan pintas, nak untung.

"Ada juga kilang yang lantik pihak ketiga untuk lupuskan buangan terjadual mereka, jadi mungkin pihak ketiga ini yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Dr Japareng turut menjelaskan bahawa pelepasan sisa dirawat dari kilang ke sungai meskipun telah mematuhi standard ditetapkan masih boleh menyebabkan pencemaran.

"Pencemaran sungai berlaku apabila sungai sudah tidak mampu menampung bahan buangan yang masuk.

"Kalau mengikut peraturan, kilang tak perlu proses bersih sangat air itu sebelum dilepaskan ke sungai, cukup patuhi standard ditetapkan tapi tetap boleh jadi pencemaran," katanya.