Kerajaan perlu pantau dana NGO pastikan ketelusan - ABIM

Gambar hiasan. - Foto 123RF (Gambar kecil: Zairudin)
Gambar hiasan. - Foto 123RF (Gambar kecil: Zairudin)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta supaya memantau pembiayaan dana dalam badan bukan kerajaan (NGO) atau badan amal bagi memastikan ketelusan dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim, ianya juga secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya kes salah laku atau pecah amanah.

“Dalam konteks laporan, pihak kerajaan boleh menggerakkan inisiatif untuk memberikan pelatihan dan pendedahan menerusi bengkel dan kursus bagi membolehkan satu laporan telus dapat dihasilkan.

“Berdasarkan penguatkuasaan undang-undang, pemantauan secara berterusan oleh pihak berkuasa terhadap pengoperasian badan amal amat signifikan bagi memastikan tiada pecah amanah atau salah guna dana/sumbangan yang diterima,” kata beliau kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap yayasan dan badan amal disaran untuk menghantar laporan lengkap kepada penderma bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan derma.

Ujar beliau, langkah itu akan dimulakan dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam masa terdekat.

Jelasnya, menerusi prosedur berkenaan memberi keyakinan orang ramai terhadap sesebuah institusi amal.

Dalam pada itu, Zairudin menambah, kesedaran masyarakat juga penting dalam mempengaruhi kejayaan penguatkuasaan undang-undang itu.

“Orang ramai juga boleh memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai bukti terhadap badan amal yang menyalahgunakan dana untuk kepentingan atau kekayaan peribadi,” kata Zairudin.