'Kerajaan perlu perbanyak majlis ilmu'

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menyokong Kerajaan Perpaduan untuk memperbanyakkan majlis ilmu dengan tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat secara umumnya.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu mengambil pendekatan secara menyeluruh dengan mengadakan program ilmu di kawasan pedalaman.

“Saya menyarankan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk bersama-sama menikmati peluang merebut ilmu yang disampaikan oleh tokoh luar mahupun dalam negara.

“Bukan itu sahaja, pengisian majlis tersebut juga perlu ditambah dengan mengadakan tausiyah daripada ulama tempatan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu Madani Bersama Perdana Menteri di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat malam.

Majlis Ilmu Madani bersama Perdana Menteri di Masjid Putra baru-baru ini. - Foto Bernama
Majlis Ilmu Madani bersama Perdana Menteri di Masjid Putra baru-baru ini. - Foto Bernama

Majlis itu turut dihadiri oleh dua tokoh ulama besar dunia Islam iaitu bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Profesor Dr Ali Juma'ah Al Azhari dan Pengasas serta Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yemen iaitu Habib Umar Muhammad Salim Ben Hafidz.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom turut menggesa kerajaan memperbanyakkan lagi majlis ilmu kerana ia boleh memberi peluang kepada orang ramai mendengar pandangan daripada para tokoh ilmuwan.

Alimuddin
Alimuddin

Beliau berkata, majlis ilmu itu wajar diadakan dengan lebih kerap kerana pengisian program turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mengajukan soalan kepada agamawan.

“Menariknya tentang majlis itu adalah ia ada sesi soal jawab dan kebanyakan soalan yang diajukan mendapat maklum balas daripada ulama tersebut secara terus.

“Secara keseluruhannya, majlis ilmu ini penting bukan sahaja dalam bidang agama tetapi ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan kerana ia boleh memberi manfaat kepada orang ramai,” jelasnya.

Alimuddin turut menyarankan kepada mana-mana penganjur majlis ilmu untuk memuat naik rakaman secara langsung di atas talian.

Beliau berkata, kebanyakan masyarakat mempunyai keinginan yang tinggi untuk menghadiri program berkenaan tetapi tidak berpeluang untuk hadir.

“Kini segala maklumat boleh didapati pada hujung jari, walaupun di mana sahaja kita berada, jadi jika program itu ada disiarkan secara atas talian maka mereka boleh bersama-sama menikmati pengisian majlis,” katanya.