Putrajaya janji bantu Pahang selesai masalah air

Azmin (kanan) bersama Wan Rosdy ketika ditemui media selepas pada Majlis Penyerahan Mock Cheque dan Surat Kelulusan Projek Menaik Taraf Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di masjid berkenaan di sini hari ini.
Azmin (kanan) bersama Wan Rosdy ketika ditemui media selepas pada Majlis Penyerahan Mock Cheque dan Surat Kelulusan Projek Menaik Taraf Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di masjid berkenaan di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan berjanji akan membantu Kerajaan Negeri Pahang dalam aspek pengurusan aset dan sumber air di negeri tersebut.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara ini akan dilaksanakan dengan segera supaya negeri itu dapat menjamin bekalan air mentah dan terawat.

Menurutnya, sebahagian besar kawasan di Pahang merupakan kawasan tadahan air terpenting bukan sahaja buat penduduk di negeri ini malah di negeri sekitarnya

"Ini bukan berkaitan pengurusan air semata-mata kerana kita turut melihat kepada kos penyelenggaraan empangan yang membabitkan kos yang besar, sedangkan kerajaan Pahang mempunyai kekangan dan sumber (kewangan) terbatas, selain pembangunan di kawasan tadahan air juga tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

"Kita juga akan membantu dalam mengurangkan kehilangan sumber daripada air tidak berhasil (NRW) yang merugikan kerajaan negeri... saya difahamkan di Pahang, kadar NRW adalah tinggi iaitu 46 peratus dan untuk mengurangkan satu peratus sahaja memerlukan ratusan ribu ringgit," katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan peruntukan berjumlah RM3 juta kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi kerja naik taraf Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini hari ini.

Beliau berkata, antara langkah bagi mengurangkan NRW ialah menggantikan paip lama bagi memastikan tiada kebocoran selain membanteras masalah kecurian air dan ia hanya boleh dilakukan melalui kerjasama rapat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Komitmen kerajaan Persekutuan dalam membantu kerajaan negeri Pahang, terutamanya dalam menangani isu air juga terserlah menerusi pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluluskan RM653 juta bagi tiga projek air di negeri ini sebelum ini.

Artikel Berkaitan: