X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga syarikat didenda akibatkan dua pekerja maut, cacat kekal

Salah seorang wakil syarikat dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan gagal mengadakan sistem kerja selamat di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Tiga syarikat dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, selepas mengaku bersalah gagal mengadakan sistem kerja selamat hingga mengakibatkan kematian dua pekerja serta seorang cacat pada Mac, April dan Mei lalu.

Sedia Engineering Works Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan, S Subramaniam didakwa gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja-kerja di ruang terkurung di KM6 Lebuhraya Ipoh-Lumut berhampiran Stesen Minyak Petronas hingga menyebabkan kemalangan.

Mengikut fakta kes, satu kemalangan telah berlaku kepada tiga pekerjanya mengakibatkan seorang warga Bangladesh, Sumon maut akibat gas penyesak dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam pada 25 Mei lalu.

Sebuah syarikat, Cew Sin Plastic Pipe Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Pentadbiran, Lee Ngean Hon didakwa gagal mengadakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti memotong paip 'upvc' di bahagian pengeluaran hingga menyebabkan mangsa mendapat kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, 29 Mac lalu, Muhammad Zulhelmi Kamaruddin, 25, putus ruas jari telunjuk kanan, jari tengah tangan kanan terputus saraf dan menyebabkan hilang deria jari tersebut.

Sementara itu, syarikat kontraktor Wego Malaysia Construction Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusan, Lim Kim Teong telah gagal mengadakan sistem kerja selamat 'lifting plan' bagi kerja-kerja mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada Lai Kim Choy, 47.

Kejadian berlaku di tapak projek membina dan menyiapkan 175 unit rumah di Bandar Seri Iskandar, Mukim Bota, kira-kira jam 12.20 tengah hari pada 24 April lalu.

Ketiga-tiga pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ira Azreen Mohamad, Mudzaffar Anwar Hussin dan Mohd Shazami Ishak di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Ketiga-ketiga pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan syarikat Sedia Engineering Works Sdn Bhd dan Wego Malaysia Construction Sdn Bhd membayar denda RM40,000 dan menetapkan hukuman penjara masing-masing sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda itu.

Bagi Cew Sin Plastic Pipe Sdn Bhd pula diarah membayar denda sejumlah RM20,000 atau penjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda itu.

Ketiga-tiga syarikat membayar denda berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!