Banjir kilat resahkan penduduk

Kejadian banjir kilat yang berlaku tahun lalu.
Kejadian banjir kilat yang berlaku tahun lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Penduduk di sekitar Penang Golf Resort di sini gusar berdepan kejadian banjir kilat sejak beberapa tahun lalu dipercayai disebabkan masalah perparitan yang tidak sistematik.

Mereka memaklumkan, sekiranya hujan lebat turun lebih daripada 20 minit bahagian depan rumah pasti dinaiki air.

Penduduk, Ariffin Mohd, 63, berkata, walaupun masalah berkenaan pernah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebelum ini namun masih tiada jalan penyelesaian.

Menurutnya, MPSP pernah melakukan kerja-kerja naik taraf pada dua pembetung di kawasan terjejas namun banjir tetap berlaku.

Salah seorang penduduk menunjukkan keadaan longkang sempit yang diakatan menjadi punca banjir kilat kerap berlaku.
Salah seorang penduduk menunjukkan keadaan longkang sempit yang diakatan menjadi punca banjir kilat kerap berlaku.

"Kami sekeluarga kerugian lebih RM40,000 selepas beberapa buah kereta, perabot dan peralatan elektrik di rumah rosak akibat kejadian banjir kilat pada Ogos tahun lepas.

"Kami trauma. Bila hujan lebat saja memang kami tak tidur lena tambahan pula keadaan cuaca yang tak menentu buatkan kami perlu sentiasa berjaga-jaga.

"Walaupun MPSP telah melakukan naik taraf pada dua pembetung longkang di sini namun banjir kilat tetap berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Kamarudin Mohd Noor, 66, berkata, walaupun ramai beranggapan kawasan perumahan itu adalah kawasan elit namun penduduk terpaksa juga berhadapan dengan situasi banjir yang mengganggu kualiti kehidupan mereka.

Menceritakan semula mengenai kejadian banjir yang berlaku sebelum ini, Kamarudin berkata, ketika itu dia dan isterinya berada di luar negara dan hanya mengetahui mengenai kejadian itu melalui jiran.

Kejadian banjir kilat tahun lalu menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.
Kejadian banjir kilat tahun lalu menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.

"Habis semua perabot dan kenderaan yang diletakkan di luar rumah rosak. Anak-anak yang tinggal di Kuala Lumpur terpaksa pulang ke rumah namun ia sudah terlewat kerana banyak barang berharga kami ditenggelami air.

"Sekarang kami takut untuk tinggalkan rumah dalam tempoh yang lama kerana bimbang kejadian sama akan berulang lagi," katanya.

Kamarudin berharap agar masalah itu dipandang serius pihak berkuasa tempatan dan MPSP dapat melakukan tindakan segera bagi mengatasi masalah yang berlaku.

Sementara itu, Ahli Majlis MPSP, Zulkiply Ishak berkata, pihaknya maklum masalah yang dihadapi penduduk di kawasan itu malah beberapa pegawai daripada Jabatan Kejuruteraan MPSP telah turun ke lokasi berkenaan untuk mencari penyelesaian.

Katanya, MPSP juga telah mengemukakan surat kepada pemaju perumahan berkenaan untuk menaik taraf parit dan menyelenggara kolam takungan di kawasan Penang Golf Resort.

"Selain itu kita juga telah melakukan kerja-kerja naik taraf pembetung di Persiaran Bertam 3 yang siap pada Disember tahun lalu selain menaiktaraf pembetung di Persiaran Seksyen 2/1A yang siap pda Mac 2019," katanya.