Shamsubahrin minta maaf isu hina Gojek, Indonesia

Gojek. Gambar kecil: Shamsubahrin
Gojek. Gambar kecil: Shamsubahrin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pengasas Big Blue Taxi Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia susulan kenyataan dikeluarkan baru-baru ini yang dianggap menghina pemandu teksi motosikal (Gojek) dan negara tersebut.

Menurutnya, kenyataan beliau bukan dibuat atas tuduhan liar atau mahu menghina rakyat Indonesia.

Beliau berkata, kenyataannya berkaitan konteks miskin diambil kira dan difahami dengan cara salah.

Katanya, susulan itu beliau mendapat respon serta dihubungi rakyat Indonesia menerusi pelbagai platform Instagram, Facebook, Twitter termasuk WhatsApp yang menyatakan pendirian mereka tentang perkara itu dan menggesanya memohon maaf.

"Sebagai rakyat Malaysia saya ingin menjaga silaturahim antara dua negara yang baik selama ini.

"Indonesia di hati saya, rakyat Indonesia juga di hati saya.... Saya tak hina dan jatuhkan martabat pemandu Gojek dan mohon maaf kepada semua rakyat Indonesia kerana melabelkan anda miskin," katanya pada sidang akhbar di Wisma Central, Jalan Ampang, di sini hari ini.

Semalam, pemandu Gojek mengancam akan mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini bagi membantah dakwaan penghinaan terhadap profesion itu oleh pengasas dan penasihat sebuah syarikat teksi Malaysia.

Shamsubahrin berkata, beliau berharap hubungan akrab antara Indonesia-Malaysia diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan permohonan maaf tersebut, beliau berharap tiada demonstrasi dilakukan di Kedutaan Malaysia di Indonesia.

"Tapi saya ingin ingatkan kerajaan Malaysia, jika nak bawa Gojek ke Malaysia dipersilakan, saya tak ada masalah... cuma soal keselamatan itu perlu jaga dan jangan libatkan soal politik dalam hal membuat keputusan berkaitan rakyat.

"Sebelum ini, kerajaan kata nak buat penguatkuasaan berdasarkan pendekatan 'soft landing', itu pun saya masih tak nampak. Jadi adakah kerajaan sudah bersedia menguatkuasakan semua sistem ini?, " katanya yang melihat tidak wajar untuk menjemput Gojek ke negara dalam keadaan kerajaan sendiri tidak bersedia dengan penguatkuasaan tersebut.

Dalam pada itu, Shamsubahrin berkata, beliau juga berhasrat meluaskan perkhidmatan Big Blue Taxi ke Indonesia dan sudah membuat permohonan kepada negara tersebut.

Dalam perkembangan lain, Shamsubahrin berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya perkhidmatan teksi motosikal tempatan, Dego Ride dihidupkan semula oleh kerajaan berbanding membawa masuk Gojek ke Malaysia.

"Lebih baik sokong produk tempatan sebab kita ada kawalan terhadap syarikat itu berbanding produk asing yang boleh ‘angkat kaki’ dan pulang ke negara asal mereka jika berdepan masalah.

"Pendapatan yang dikaut sistem pengangkutan awam kendalian syarikat asing juga mengalir keluar, justeru kita hanya mengalami kerugian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek ancam kepung Kedutaan Malaysia