Gojek ancam kepung Kedutaan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Penyedia perkhidmatan teksi motosikal (Gojek) mengancam untuk mengepung Kedutaan Malaysia di Jakarta susulan video tular yang dianggap merendahkan Indonesia dan pekerjaan mereka.

Presidium Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono berkata, dia dan seluruh penyedia Gojek di Indonesia sudah mengemukakan surat terbuka yang ditujukan kepada Kedutaan Malaysia.

Kandungan surat itu turut menuntut penjelasan dan permohonan maaf daripada individu dalam video tersebut yang merupakan rakyat Malaysia, pengasas syarikat Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail.

Shamsubahrin menerusi video tersebut didakwa mengeluarkan kenyataan provokasi dengan berkata, 'Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta'.

Menurut Igun, kenyataan itu jelas merendahkan martabat pekerjaan mereka dan menghina rakyat Indonesia secara umum.

Tegasnya, jika tuntutan itu tidak dipenuhi sehingga Selasa (hari ini), dia bersama kumpulan Gojek akan mengepung Kedutaan Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di seluruh Indonesia.

Sementara itu, pihak Gojek yang dihubungi CNNIndonesia.com belum memberi sebarang respons tentang video yang menjadi tular itu dan rancangan untuk mengepung Kedutaan Malaysia. - CNN Indonesia

Artikel Berkaitan: