Keputusan waktu konsert dibuat Puspal secara konsensus: Jakim

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan keputusan berhubung waktu penganjuran SP Balasubrahmanyam (SPB) Live Concert Illaya Nila yang dijadualkan pada 31 Ogos ini dibuat oleh Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) secara konsensus bersama agensi-agensi lain sebagai ahlinya.

Jakim dalam satu kenyataan di sini hari ini menjelaskan, selaku agensi yang dilantik sebagai ahli Puspal di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), pihaknya telah diminta untuk memberi pandangan mengenai penganjuran konsert-konsert hiburan yang akan diadakan pada malam 31 Ogos dan 1 September ini.

Menurutnya, sebagai agensi bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di negara ini, Jakim telah memberi pandangan bahawa memandangkan tarikh 1 Muharam 1441 Hijrah yang merupakan hari kebesaran Islam bermula pada terbenam matahari 31 Ogos 2019 sehingga terbenam matahari 1 September 2019, adalah wajar konsert-konsert hiburan pada waktu tersebut dipinda ke tarikh atau waktu yang lain.

"Memandangkan Jakim bukanlah pihak berkuasa yang meluluskan permohonan penganjuran acara seumpama ini, Jakim memberi pandangan dan nasihat dari sudut agama mengenai kesesuaian waktu penganjuran konsert tersebut sahaja.

"Pandangan Jakim ini sebagai panduan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan kepada Puspal yang mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan atau sebaliknya berdasarkan peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa," kata kenyataan itu.

Semalam, jawatankuasa Puspal dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak pernah memberi sokongan untuk penganjuran SPB’s Live In Concert Illaya Nila pada 31 Ogos ini.

Puspa berkata, permohonan daripada Raaghav Productions selaku penganjur untuk mengadakan konsert tersebut pada jam 7 hingga 11 malam pada tarikh berkenaan hanya diterima oleh Puspal pada 31 Julai lalu.

Jelasnya, berdasarkan maklumat daripada penganjur yang dikemukakan kepada Jakim melalui surat bertarikh 13 Ogos, didapati jualan tiket untuk konsert tersebut telah bermula dari Mac 2019 lagi iaitu sebelum permohonan tersebut dikemukakan kepada Puspal.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Puspal ingin mengingatkan yang pihak penganjur tidak sepatutnya memulakan jualan tiket untuk sebarang acara sebelum kebenaran pihak berkuasa diperoleh, termasuklah surat sokongan daripada Puspal.

Puspal menjelaskan permohonan tersebut telah ditolak berdasarkan pandangan dan nasihat Jakim supaya pemohon dapat meminda tarikh konsert tersebut kepada tarikh lain yang lebih sesuai.