Biar jawatankuasa siasat gangguan sistem KLIA

Orang ramai melihat Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) dengan memaparkan maklumat terkini selepas pulih dari kegagalan peralatan rangkaian. -Foto Bernama
Orang ramai melihat Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) dengan memaparkan maklumat terkini selepas pulih dari kegagalan peralatan rangkaian. -Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pengangkutan menyerahkan kepada Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) menyiasat mengenai dakwaan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ada unsur jahat.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata. pihaknya akan memberi ruang kepada jawatankuasa tersebut untuk mengkaji dan menyiasat secara terperinci mengenai insiden itu dalam tempoh masa sebulan.

"Buat masa ini saya tidak mahu membuat sebarang komen dan kesimpulan, biarlah jawatankuasa itu menyiasat dan mengkaji secara pentadbiran dengan mendalam.

"Jawatankuasa ini diberi kuasa untuk akses di mana-mana tempat dalam lapangan terbang bagi membolehkan mereka melihat apa sebenarnya yang terjadi, dan biarlah mereka menjalankan siasatan dengan lebih terperinci.

"Jawatankuasa ini ada kuasa untuk memanggil dan menyiasat semua pihak dari semua sudut untuk diambil keterangan. Sebaik sahaja laporan penuh selesai mereka akan membentangkannya di hadapan jemaah menteri untuk diteliti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Lawatan Turun Padang, Program sokongan Keselamatan Perjalanan di Wisma Tenaga Nasional Berhad dekat sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kegagalan sistem KLIA, MAHB buat laporan polis

Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya sudah memaklumkan kepada operator di lapangan terbang agar memberi keutamaan kepada keselesaan penumpang yang terkandas akibat gangguan rangkaian sistem di KLIA.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada penumpang termasuklah jemaah haji yang terkandas untuk dibawa pulang, itu perlu diselesaikan segera dan diberi keutamaan," katanya.

Anthony Loke memakaikan topi kaledar kepada salah seorang peserta program.
Anthony Loke memakaikan topi kaledar kepada salah seorang peserta program.

Bagaimanapun, pihaknya telah dimaklumkan bahawa sistem di KLIA kini semakin pulih dan keadaan penerbangan juga kembali normal.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan insiden gangguan sistem di lapangan terbang itu.

Kegagalan sistem TAMS di KLIA dikesan pada 21 Ogos (Rabu) hingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama empat hari, namun ia distabilkan pada 24 Ogos lalu.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohd Khairul Adib Abdul Rahman bersama enam anggota lain.

Mereka adalah Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr Nungsari Ahmad Radhi; anggota Suruhanjaya MAVCOM Datuk Seri Long See Wool; anggota Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Afzal Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar; dan Ketua Eksekutif, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Md Shah Nuri Md Zain.

Manakala, Bahagian Udara serta Kementerian Pengangkutan akan bertindak selaku sekretariat.