Dugaan berganda Hamidah

Hamidah bersama arwah suami dan dua anak berusia tujuh dan empat tahun.
Hamidah bersama arwah suami dan dua anak berusia tujuh dan empat tahun.
A
A
A

BALING - Seorang wanita yang baru kematian suami tabah menjaga tiga anak termasuk seorang yang mengalami masalah jantung seawal usia empat bulan.

Hamidah Mohd Ghoni, 29, dari Kampung Parit Panjang berkata, anaknya Nur Zahratul Hanani Mohd Khairul Nazmee disahkan mengalami masalah jantung selepas dilahirkan.

Menurutnya, masalah kesihatan anak bongsunya itu dikesan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sungai Petani.

"Ketika menjalani rawatan di hospital, doktor maklumkan injap jantungnya bermasalah manakala saluran darah dan pernafasannya juga terbalik serta tertutup.

"Saluran darah berada pada pernafasan manakala saluran pernafasan berada di saluran darah. Kedudukan jantung anak juga berada di sebelah kanan," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Hamidah, masalah dialami juga menyebabkan Nur Zahratul kini masih dirawat di hospital tersebut, selain bergantung kepada alat bantuan oksigen serta ubat jantung untuk terus hidup.

Zahratul kini dirawat di hospital.
Zahratul kini dirawat di hospital.

"Ubat itu perlu diambil secara berterusan setiap hari. Kalau tak ambil ubat itu, jantung anak akan berhenti.

Artikel Berkaitan:

"Anak juga perlu menjalani tiga pembedahan. Bagi pembedahan pertama akan dibuat dalam tempoh terdekat manakala pembedahan kedua dan ketiga akan dibuat beberapa tahun akan datang," katanya.

Hamidah yang kematian suami pada 16 Ogos lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru, kini menyara tiga anaknya dengan hasil bekerja di sebuah butik pengantin berdekatan.

Ujarnya, demi mencari pendapatan dia terpaksa mengagihkan masa antara bekerja dan menjaga anak di hospital.

"Sebelum ini lebih dua bulan saya jaga anak di hospital. Selepas dapat kerja sambilan baru-baru ini saya terpaksa pergi selang sehari atau pergi pada waktu-waktu tertentu saja," katanya.

Hamidah berkata, dalam keadaannya kini dia memerlukan bantuan seperti lampin dan tisu basah selain kos untuk berulang alik ke hospital bagi melihat anaknya.

Katanya, dia juga bersyukur apabila Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut meluluskan bantuan bulanan untuknya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh hulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 02048020681447, atas nama Hamidah Mohammad Ghoni atau menghubunginya di talian 013-4515281 atau 019-4424502.