'Maaf, kami bukan UMNO'

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) menjawab soalan pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, hari ini. - Foto BERNAMA
A
A

SEREMBAN - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini sedikit gamat apabila Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri mengumumkan bantuan sara hidup RM100 kepada pelajar institut pengajian tinggi awam.

Zaifulbahri turut mendakwa bahawa pengumuman itu dibuat ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pada April lalu.

Kenyataan Zaifulbahri itu menyebabkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) bangun dan menegaskan ia tiada kaitan dengan PRK Rantau dan bukannya usaha meraih undi.

"Mengatakan kita umum bantuan ketika kempen adalah keterlaluan. Untuk rekod, kita buat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban yang jauh dari Rantau. Tujuan kita beri bantuan ini bukan tujuan kempen.

"Maaf, kami bukan UMNO. Kita telah rancangnya sudah lama. Kalau ia bertujuan untuk politik, saya buat di Rantau.

"Jangan buat tuduhan begitu. Tujuan kita untuk bantu rakyat Negeri Sembilan dan tidak ada negeri lain yang buat," katanya pada Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Ke-14 di sini hari ini.

Reaksi balas Aminuddin itu bagaimanapun disambut secara sinis Zaifulbahri dengan merujuk Aminuddin sebagai ketua tadbir negeri sepatutnya mempunyai hati besar dan bukan mengambil sikap mudah marah.

Terdahulu, Aminuddin berkata, bantuan khas itu disediakan oleh Yayasan Negeri Sembilan kepada mahasiswa terutama kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Seramai 193 pelajar IPT berasal dari Negeri Sembilan telah memohon untuk bantuan itu dengan 52 daripadanya sudah diluluskan.

"Tahun ini, sebanyak RM1.95 juta telah diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 19,500 pelajar IPT Negeri Sembilan di seluruh negara.

"Sejak April hingga bulan ini, seramai 5,700 pelajar sudah menerima bantuan itu merangkumi peruntukan RM530,000," katanya.