Tahap MSPO pekebun kecil rendah: Teresa

Antara penanam sawit dan pekebun kecil yang hadir ke Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Kedah hari ini.
Antara penanam sawit dan pekebun kecil yang hadir ke Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Kedah hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kurang kesedaran mahupun tidak mendapat maklumat tepat khususnya di luar bandar menyebabkan jumlah pemegang Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) masih rendah.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, besar kemungkinan pekebun kecil tidak mendapat maklumat sebenar mengenai kepentingan MSPO biarpun ada yang telah berpengalaman lebih 50 tahun dalam industri penanaman kelapa sawit.

Menurutnya, disebabkan itu kementeriannya sendiri telah turun padang bagi mengendalikan program jelajah seluruh negara mengadakan pertemuan dengan pengusaha sawit dan pekebun kecil, untuk menyatakan kepentingan MSPO terhadap eksport sawit negara.

"Saya dimaklumkan sehingga 31 Julai 2019, hanya seluas 2.75 juta hektar atau 47 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengendalikan Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Kedah di Park Avenue, hari ini.

Menurutnya, bagi zon utara seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, dua daripada empat Kelompok Minyak Sawit Mampan telah berjaya mendapat sijil MSPO.

"Ini melibatkan bilangan pekebun kecil persendirian seramai 100 orang dengan keluasan 248 hektar.

"Bagaimanapun keluasan ini adalah masih sangat rendah iaitu hanya 38,890 hektar atau 0.8 peratus daripada jumlah keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian di negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pelaksanaan MSPO adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara.

"Ia selari dengan keutamaan negara pengimport dan pengguna seluruh dunia yang memberi tumpuan kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan," katanya.

Ujarnya, diharap negara mampu mencapai tahap pensijilan MSPO lebih tinggi atau mencapai sasaran 100 peratus sekurang-kurangnya hujung tahun ini, sebagai usaha kerajaan bagi memenuhi kehendak pasaran antarabangsa.