Beri kepercayaan kepada sistem perundangan

(Gambar kecil, Tinagaran)
(Gambar kecil, Tinagaran)
A
A
A

IPOH - Semua pihak terutama pimpinan kerajaan perlu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada proses undang-undang sedia ada.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, MA Tinagaran berkata, tindakan mempertikai sebarang bentuk proses undang-undang mencerminkan seolah-olah tidak menghormati sistem perundangan negara.

Menurutnya, tidak ada sebab untuk pemimpin dalam kalangan parti kerajaan mempersoal tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas mereka kerana Pakatan Harapan (PH) menyokong prinsip keluhuran Perlembagaan.

"Sebarang tuduhan politik yang zalim memang kita tentang sejak dahulu lagi. Tetapi dalam isu-isu berkaitan jenayah, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak perundangan menentukan sama ada bersalah atau tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak nasihat Paul Yong bercuti

Paul Yong akur bercuti dari tugas rasmi

"Sistem perundangan negara bukan sahaja perlu adil tetapi dilihat adil. Kalau pemimpin daripada parti kerajaan sendiri mempertikaikan keputusan perundangan, bagaimana ia mahu dilihat adil?," katanya kepada Sinar Harian.

Menyentuh mengenai keputusan Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong yang akur dengan nasihat Menteri Besar Perak untuk bercuti, Tinagaran berkata, pihaknya menyambut baik tindakan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan itu sebenarnya perlu dibuat lebih awal dalam memastikan pentadbiran kerajaan tidak terganggu.

Beliau berkata, keutamaan harus diberikan kepada pentadbiran kerajaan negeri dan bukan disebabkan kepentingan peribadi.

"Kita tidak akan membela sesiapa yang terlibat dalam mana-mana kes jenayah kerana tidak mahu mengganggu siasatan walaupun individu itu adalah exco kerajaan Perak daripada PKR. Biarlah mahkamah yang membuat keputusan sama ada salah atau tidak.

"Malah kita menggesa supaya sebarang siasatan dan pendakwaan terhadap mana-mana Exco Perak atau pemimpin kerajaan dilakukan segera bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, Tinagaran mengingatkan semua anggota kerajaan supaya menumpukan fokus terhadap pembangunan negeri berbanding terlibat dalam mana-mana salah laku.

Menurutnya, rakyat kini memerhati dan menilai sejauh mana pentadbiran kerajaan dalam membantu memajukan masyarakat serta negeri.