Dahulu jernih, sekarang...

Seorang penduduk cuba mengambil air yang berkeladak.
Seorang penduduk cuba mengambil air yang berkeladak.
A
A
A

KOTA BHARU – Penduduk di Kampung Pulau Raja, Chicha, Kubang Kerian di sini kecewa berikutan tali air di kampung mereka dicemari mendapan keladak enap cemar sedalam kira-kira 3 meter, dipercayai sisa buangan dari sebuah loji rawatan air berhampiran.

Keadaan di tali air sepanjang kira-kira 2 kilometer (km) berkenaan berwarna kuning kemerahan dan mempunyai mendapan berwarna coklat gelap hingga merosakkan ekosistem di sekitarnya.

Seorang penduduk dikenali sebagai Along menunjukkan air berkeladak yang diceduk dari tali air tersebut.
Seorang penduduk dikenali sebagai Along menunjukkan air berkeladak yang diceduk dari tali air tersebut.

Seorang penduduk, Raizam Ismail, 61, mendakwa masalah tali air dicemari keladak karat tersebut bermula apabila loji rawatan air dibangunkan di kawasan itu kira-kira 20 tahun lalu.

Menurutnya, keadaan tersebut semakin meruncing sejak setahun kebelakangan ini kerana dipercayai sudah lama tidak ada kerja-kerja pemulihan atau pembersihan dilakukan pihak berkenaan.

“Air di tali air ini mengalir dari Sungai Chicha dan akan keluar ke Sungai Pasir Tumbuh. Dulu pemandangannya cantik dengan airnya yang jernih tetapi kini warnanya semakin hari semakin kekuningan dan berkarat ditambah pula dengan keladak yang sangat tebal.

“Penduduk setiap hari melalui kawasan ini dan setiap pagi, petang atau malam kami hanya nampak tali air tercemar yang mencacatkan pandangan. Bukan penduduk sahaja yang rasa, orang luar yang datang pun turut sama merasainya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Raja, Chicha, Kubang Kerian di sini.

Menurut pesara kerajaan itu lagi, laporan berhubung masalah tersebut pernah dibuat kepada pihak yang berkenaan dan tindakan diambil adalah datang membersihkan tali air itu namun perkara sama masih berulang lagi.

Artikel Berkaitan:

“Mereka bersihkan dengan mengorek keladak dan bawa naik ke atas tebing. Tetapi keesokannya pula, air yang berkeladak dan kotor akan masuk lagi ke tali air dan ini akan berlaku berulang kali,” katanya.

Raizam (kanan) menunjukkan mendapan keladak tebal di tali air tersebut.
Raizam (kanan) menunjukkan mendapan keladak tebal di tali air tersebut.

Seorang lagi penduduk, Raja Talib Nik Mat, 65, berkata, sebagai penduduk asal di kampung tersebut dia turut kesal dengan keadaan itu yang berlarutan dalam tempoh lama sekali gus merencatkan aktiviti seharian mereka.

“Ikan pun boleh mati dalam air kotor seperti ini. Kalau dulu ada juga ikan dan kita boleh memancing, sekarang ikan sudah tidak ada.

“Air berkeladak ini pula ada masa-masanya terutama ketika hujan, ia akan melimpah keluar sehingga masuk ke kawasan tanah penduduk hingga menyebabkan tanah jadi tidak subur. Tanaman saya sendiri seperti durian dan rambutan mati,” katanya.

Beberapa penduduk memacak kayu melihat ketebalan mendapan keladak di tali air Kampung Pulau Raja.
Beberapa penduduk memacak kayu melihat ketebalan mendapan keladak di tali air Kampung Pulau Raja.

Seorang peniaga, Zabidah Jusoh, 58, pula berkata, dia yang baharu tiga tahun pulang menetap di kampung itu terkejut dengan keadaan tali air dan berharap pihak berwajib melakukan sesuatu bagi memulihkan kembali pencemaran yang berlaku.

“Dulu kawasan ini jadi tarikan pelancongan luar dan dalam negeri kerana terdapat aktiviti kayak di sungai yang berhubungan dengan tali air ini. Namun sejak air berkeladak dari tali air ini mengalir ke sungai, aktiviti begitu sudah tidak dapat dilakukan lagi.

“Buatlah sesuatu yang dapat menyelamatkan tali air ini kerana kalau kawasan ini mempunyai air bersih, bermacam-macam aktiviti berfaedah boleh dilakukan termasuk bercucuk tanam dan sebagainya,” katanya.

Tali air sepanjang 2km tersebut dicemari enap cemar dipercayai dari sebuah loji berhampiran.
Tali air sepanjang 2km tersebut dicemari enap cemar dipercayai dari sebuah loji berhampiran.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Air Kelantan Sdn Bhd, Mohd Safrurazi Salleh ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghentikan operasi pembuangan enap cemar ke tali air dan sungai di kawasan berkenaan sejak Jun lalu.

“Kita dalam proses untuk mencuci semula tali air dan sungai yang berkenaan secara berperingkat-peringkat,” katanya.