'Rakyat perlu elak selisih faham, bijak tepis ancaman'

Tengku Sarafudin ketika bertitah di majlis persembahan ucapan tahniah sempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah ke-77, di Istana Anak Bukit, hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Rakyat negeri ini dinasihatkan hidup dalam suasana aman damai dan mengelakkan perselisihan faham antara satu sama lain serta pertelingkahan antara kaum agar tidak berlaku perpecahan.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum dan setiap individu harus bijak menepis ancaman buruk walaupun ada pihak sengaja mengapi-apikan isu perkauman.

Baginda bertitah, ia harus ditangani secara bijaksana agar keharmonian kaum terus terpelihara.

“Untuk hidup dalam keadaan aman damai di negeri ini, seluruh rakyat jelata hendaklah berjanji untuk sama-sama mengekalkan keharmonian dan perpaduan sepanjang masa,” titah baginda di majlis persembahan ucapan tahniah sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah ke-77 di Istana Anak Bukit, hari ini.

Tengku Sarafudin berharap, Kedah akan terus makmur serta mengeratkan keharmonian rakyat berbilang kaum selain memelihara tamadun yang diasaskan Sultan-Sultan Kedah yang terdahulu.

Baginda juga mahu rakyat mengambil iktibar tentang musibah bencana ribut akibat Taufan Lekima baru-baru ini yang menyebabkan berlaku kerosakan rumah dan harta benda awam.

“Jangan kita beranggapan negara kita khususnya Kedah, tidak terkecuali daripada dilanda malapetaka dan bencana alam. Saya percaya kerajaan dan rakyat perlu mengambil iktibar dan sentiasa siap-siaga menghadapi apa-apa bencana pada masa hadapan,” titah baginda.

Tengku Sarafudin turut mahu rakyat memelihara alam sekitar dan ekosistem alam supaya dapat mengurangkan bencana lebih serius pada masa akan datang.

“Pihak kerajaan boleh memantau dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang pencemaran alam sekitar,” titah baginda.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia