NGO dedah kanak-kanak beraksi 'berani' di media sosial

Mohd Fadhli Othman
Mohd Fadhli Othman
A
A
A

MELAKA - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) IKRAMTeens Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mendedahkan terdapat kanak-kanak perempuan di negara ini serendah usia 10 tahun dikesan sudah berani mendedahkan bahagian sulit tubuhnya untuk tatapan ‘kaki lucah’ di media sosial.

Pengerusi IKRAMTeens, Mohd Fadhli Othman berkata, perbuatan itu dikesan menerusi pemantauan yang dibuat terhadap beberapa aplikasi media sosial seperti Bigo Live, Instagram dan WeChat.

Menurutnya, peringkat usia yang terlibat adalah antara 10 hingga 14 tahun dan bagi ibu bapa pula, istilah ‘sawer’ serta ‘payung’ mungkin tidak difahami, namun bagi kanak-kanak ini, ia bermaksud peluang meraih pendapatan daripada penonton yang mahu menyaksikan perbuatan ala pornografi itu.

“Hasil pemantauan kami menemui kumpulan kanak-kanak yang ada antaranya semuda 10 tahun aktif bersiaran langsung di Bigo Live selama hampir lapan jam sehari pada hujung minggu.

“Amat menyedihkan apabila penampilan kanak-kanak ini berubah daripada berpakaian lengkap ketika mula bersiaran jam 8 malam dan lama-kelamaan berubah sehingga dilihat menjolok mata sekitar jam 2 hingga 4 pagi.

“Istilah seperti ‘sawer’ dan ‘payung’ bermaksud mereka diminta penonton untuk mendedahkan bahagian tubuh tertentu asalkan tidak berbogel demi meraih mata yang memberi mereka pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah bertajuk Kesan Pendedahan Pornografi Terhadap Kanak-kanak pada Program Parenting Talk anjuran Kelab Ibu Bapa dan Guru (KIBG) Sekolah Rendah Islam (SRI) Kiblah Melaka di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) semalam.

Menurut Mohd Fadhli, tindakan kanak-kanak ini membimbangkan kerana mereka turut dikesan menggunakan aplikasi lain seperti WeChat dan Instagram untuk mengiklankan diri.

Artikel Berkaitan:

“Memburukkan lagi keadaan, kebanyakan ibu bapa tidak memeriksa telefon anak mereka kerana beranggapan masih kecil atau sudah selamat apabila hanya berkurung di dalam bilik.

“Tindakan kanak-kanak ini jika tidak dibendung dibimbangi akan menjadi lebih serius dan menjadi penyumbang kepada masalah gejala sosial lain yang mampu merosakkan masa depan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau meminta ibu bapa lebih prihatin dan mengetepikan perasaan malu untuk berkongsi cerita berkaitan pendidikan seks dengan anak di peringkat sekolah rendah.

“Keakraban institusi keluarga sangat penting yang mana ibu bapa sepatutnya tidak malu untuk menjelaskan kepada kanak-kanak apakah perubahan dan batas pergaulan dalam hidup mereka.

“Ibu bapa perlu tahu apakah kaedah menangani serta pemulihan minda kanak-kanak yang terdedah kepada pornografi,” katanya.