Rugi lebih RM425,000 disamun tiga lelaki, seorang wanita

Gambar kecil: Noor Azmi
Gambar kecil: Noor Azmi
A
A
A

AMPANG - Gara-gara mempercayai kata-kata seorang wanita yang menawarkan nilai tukaran wang asing melebihi kadar tukaran semasa, seorang lelaki kerugian AS$ 101,500 (RM425,386.50) disamun tiga warga asing di tepi Jalan 9, Taman Ampang Jaya, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 3.09 petang itu, mangsa dikatakan mengeluarkan wang dan menukarnya kepada dolar AS untuk membuat pembayaran urusan perniagaannya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, mangsa ditawarkan nilai tukaran wang asing RM6 bagi setiap AS$1 berbanding kadar tukaran semasa RM4.19 bagi setiap AS$1.

Menurutnya, mangsa bertemu seorang wanita dan mengikutnya menaiki sebuah kereta jenis Nissan Teana kononnya ke pejabat suspek untuk membuat urusan pertukaran wang.

“Ketika sampai di Jalan 9, Taman Ampang Jaya, wanita terbabit menghentikan kenderaan sebelum tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Nissan Sentra membuka pintu dan merampas beg sandang dibawa mangsa,” katanya.

“Mangsa ditolak dan ditumbuk sebelum kesemua suspek termasuk wanita terbabit melarikan diri bersama beg sandang mengandungi wang tunai berjumlah AS$ 101,500.00 serta dokumen penting,” katanya.

Beliau berkata, tiga lelaki warga Afrika dan wanita yang belum dikenal pasti bangsanya meningalkan kereta jenis Nissan Teana dan melarikan diri menaiki kereta jenis Nissan Sentra.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta Nissan Teana ditinggalkan adalah kereta klon manakala Nissan Sentra digunakan suspek untuk melarikan diri menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan kes telah dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan,” katanya.