[DIKEMASKINI] Pangkalan data pesalah pedofilia akan dikemaskini

Nur Fitri
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Pangkalan data berkaitan pesalah jenayah kanak-kanak di negara ini akan dikemaskini secara komprehensif berikutan senarai sedia ada hanya bagi tahun 2017.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya mampu memantau setiap individu yang didapati mempunyai kesalahan serius dengan adanya data terkini.

"Kebiasaannya kerajaan memiliki daftar terhadap individu yang didapati melakukan sebarang jenayah atau kesalahan sama ada di dalam dan luar negara," katanya ketika mengulas berhubung Nur Fitri Azmeer Nordin, 27, yang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Kedah di Aman Sentral di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nur Fitri didapati bersalah pada tahun 2015 dan ketika itu dia berada di luar negara.

"Kerajaan juga perlu bersikap adil kepada semua pihak. Kisah ini punya dua aspek. Dia sudah menjalani hukuman atau sebahagiannya. Apakah kita mahu menghukumnya seumur hidup?

"Kita juga hendak pastikan anak kita terjaga pada masa sama, jadi kita perlu seimbang," katanya.

Sebelum ini, kemasukan Nur Fitri ke universiti itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan netizen selepas satu 'posting' di Twitter mendakwa dia sedang menyambung pengajian di UKM, Bangi menjadi tular, baru-baru ini.

Melalui kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UKM, universiti terbabit memilih Nur Fitri untuk melanjutkan pengajian di UKM disebabkan keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian.

UKM percaya pendidikan mampu membantu transformasi individu dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri bagi mencapai kejayaan tertinggi dalam kehidupan.

Sebelum ini, pelajar pintar Matematik yang melanjutkan pelajaran di Imperial College di London menggemparkan negara apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, United Kingdom pada tahun 2015.

Mahkamah Southwark Crown menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Nur Fitri selepas dia mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.

Ketika ditahan, polis mendapati penuntut yang memegang biasiswa Matematik itu memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak serta beratus bahan lucah kategori B dan C.

Sejak beberapa hari lepas, nama genius matematik itu kembali hangat diperkatakan di media sosial terutamanya Twitter dipercayai bermula dari satu 'posting' mendakwa Nur Fitri sedang menyambung pengajiannya di UKM Bangi.

Bagaimanapun, situasi itu didakwa menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak, bahkan ada menasihatkan penduduk di Bangi berhati-hati kerana pesalah pedofilia kini berada di kawasan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: UKM beri peluang Nur Fitri sambung pengajian


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia