Tiada rombakan tetapi berdebar

A
A
A

ADA laporan dalam akhbar dua hari lalu bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat rombakan Kabinet.

Berita seperti itu tentu sekali menarik perhatian umum, lebih-lebih lagi Kabinet Malaysia Baharu yang ada sekarang baru setahun lebih usianya.

Maka macam-macam spekulasi dibuat orang. Ada yang kata agaknya ramai menteri tidak bagus, sebab itu perlu diganti dengan orang yang lebih bagus.

Ada juga yang berspekulasi bahawa beberapa orang lama akan dibawa ke Kabinet, termasuk bekas veteran UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Malah, ada juga sosak-sosek yang lebih ekstrem bahawa Dr Mahathir akan melepaskan jawatannya. Pendek kata berita rombakan Kabinet memang selalu membuat orang berdebar.

MUJURLAH Dr Mahathir, sebagai orang berpengalaman, segera menamatkan debaran dan menghentikan spekulasi-spekulasi yang bukan-bukan.

Hanya beberapa jam setelah berita hangat itu, Perdana Menteri menafikan dan menegaskan kepada wartawan: “Tidak ada rombakan Kabinet!”

Kata beliau, kalau ada pun cuma beberapa perubahan portfolio, “itu pun hanyalah di peringkat cadangan, belum ada keputusan muktamad.”

Artikel Berkaitan:

Maka sesiapa yang berasa dirinya tidak cukup baik, janganlah sampai hilang selera makan sebab berdebar dan bimbang sangat akan digugurkan daripada Kabinet.

Mana-mana yang berhasrat atau berangan-angan hendak menjadi menteri atau memegang portfolio terpenting, nampaknya akan terus berstatus Mat Jenin.

MENJELANG beberapa hari lagi kita menyambut kemerdekaan, ada sahaja perbuatan onar yang menguji kesabaran kita.

Antaranya ialah Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di beberapa premis termasuk di sebuah sekolah di Pahang, seperti yang tular di media sosial.

Ada yang kata memasang bendera negara terbalik itu betul-betul tidak disengajakan tetapi ada juga bukti bahawa perbuatan itu memang disengajakan untuk tujuan menghina.

Boleh dimaafkan sekiranya tidak sengaja, tetapi jika sengaja hendak menghina panji negara, si penghina itu patut sekali diajar dan dihukum.

Apa kata, untuk beberapa saat sahaja! Angkat si penghina itu dalam keadaan terbalik, kaki ke atas kepala ke bawah. Biar dia tahu susahnya bila terbalik.

UNTUK beberapa minggu ini, media termasuk TV menyiarkan pengorbanan yang dilakukan oleh anggota keselamatan kita termasuk polis.

Seperti yang jelas ditunjukkan dalam rakaman filem, ramai anggota keselamatan kita terkorban terkena jerangkap samar, dibom musuh dan disiksa pengganas.

Betapa anggota keselamatan kita berserta keluarga terbunuh dan dibakar pengganas dalam tragedi Bukit Kepong yang menyayat hati itu.

Pendek kata sejarah telah membuktikan bahawa askar dan polis kita berkorban jiwa dan raga, bermandi darah dalam dentuman peluru untuk nusa tercinta.

Maka orang yang menuduh anggota keselamatan kita hanya ‘makan-tidur’ bukan sahaja buta sejarah, tetapi juga buta hati, buta perasaan.

SEPERTI diberitahu, Kabinet pada dasarnya telah bersetuju untuk melaksanakan Gojek atau Dego Ride sebagai salah satu pengangkutan awam di Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, inisiatif tersebut akan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan golongan mat motor.

Belum pasti apakah benar perkhidmatan motosikal teksi yang telah dilaksanakan di Jakarta itu akan menjadi kerjaya baharu kepada beribu-ribu pemilik motosikal, khasnya remaja.

Apa yang pasti daripada rekod sebelum ini ialah motosikal adalah penyumbang terbesar kemalangan maut di jalan raya.

Mewujudkan Gojek adalah meningkatkan lagi risiko kepada pengguna @ pembonceng. Pada hemat saya Gojek tidak sesuai di tempat kita, lupakanlah!

AKHIR kalam, pendakwah, Dr Zakir Naik telah beberapa kali dipanggil polis. Dia pun telah secara ikhlas memohon maaf atas keterlanjuran kata-kata ketika berceramah.

Jadi, apa lagi yang kita tidak puas hati sehingga hendak menunjuk perasaan mendesak pihak berkuasa mengusir pendakwah itu. Cukup-cukuplah!

*TOK PERAK