Ching Iyu imbau pengalaman belajar tulisan jawi

436648-1
436648-1
A
A
A

PASIR MAS - Perlahan-lahan, Owee Ching Iyu membuka lembaran tengah sebuah buku latihan. Dengan sebatang 'marker pen', dengan tertib beliau mengeja dan menulis serangkap pantun tradisional dendangan orang dulu-dulu dalam tulisan jawi.

'Dalam semak ada duri, ayam kuning buat sarang, orang tamak tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang,' begitu rangkap pantun yang ditulis Iyu,77, dalam tulisan jawi yang teratur dan kemas.

Anak jati kelahiran Kampung Sakar, Tendong di sini, mengakui dirinya begitu dekat dengan tulisan jawi dan menggunakannya dalam kehidupan seharian walaupun pandai juga menulis rumi.

Semuanya bermula ketika dirinya berusia sembilan tahun apabila mula memasuki alam persekolahan pada 1951.

"Pak cik belajar di Sekolah Melayu Tendong. Ketika itu sekolah beraliran Cina hanya ada di pekan Pasir Mas. Nak belajar di sekolah Cina sukar kerana perlu naik beca ataupun bas North Eastern Transport Service (NETH), tapi keluarga tak mampu nak bayar tambang kerana hidup susah.

"Kalau di Sekolah Melayu Tendong tak perlu naik bas, hanya berjalan kaki kira-kira dua kilometer sahaja," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, di sini semalam.

Bapa kepada enam anak itu turut mengakui tidak pandai menulis tulisan Cina kerana tidak mendapat pendidikan formal dalam subjek berkenaan.

"Tetapi saya sering gunakan tulisan jawi untuk kegunaan harian. Contohnya untuk menanda tarikh-tarikh penting untuk aktiviti pertanian kerana saya bekerja sebagai petani di kampung.

Artikel Berkaitan:

"Belajar jawi pada mulanya susah tapi bila dah berjaya kuasainya, ia lebih mudah berbanding tulisan rumi. Cuma sekarang ejaan-ejaan dalam jawi sedikit berbeza ketika saya mula-mula belajar dahulu," katanya.

Beliau juga masih mengingati beberapa mata pelajaran yang menggunakan tulisan jawi, antaranya tawarikh (sejarah) dan karangan ketika masih bersekolah.

"Nak belajar jawi pada waktu itu, mula-mula sekali kena belajar asah pensil. Hujung mata pensil bukan tajam tetapi tirus kerana kami juga belajar tulisan khat. Cantik sekali tulisan jawi kalau ditulis menggunakan kaedah itu," katanya.

Ketika rindu membaca tulisan jawi, Iyu akan membelek-belek senaskhah akhbar Utusan Jawi yang dibelinya pada 2008 dan masih disimpannya sehingga kini.

Lahir ketika Jepun baharu menduduki Tanah Melayu ketika itu, Iyu berkata, walaupun tidak mengingati sebarang peristiwa yang berlaku pada waktu itu, namun mendiang ibunya pernah menceritakan beberapa detik-detik mencemaskan yang berlaku dalam keluarganya.

"Antaranya, mendiang ibu pernah membawa saya dan adik-beradik yang lain lari ke Narathiwat (Selatan Thailand) kerana askar Jepun sedang mencari buruh paksa untuk membuat landasan kereta api maut di Burma.

"Kami sempat berada di sana untuk beberapa bulan manakala ayah pula berada di kampung untuk menjaga keselamatan harta-benda. Kehidupan waktu itu cukup susah tapi kami masih boleh makan nasi walaupun dicatu," katanya.

Tamat Perang Dunia ke-2, selepas dua tahun berada di alam persekolahan, masih segar dalam ingatan Iyu mengenai pertabalan Ratu Elizabeth II pada 2 Jun 1953.

"Beberapa hari sebelum pertabalan, guru menyuruh semua pelajar untuk hadir ke sekolah bagi meraikan hari pertabalan Ratu Elizabeth II.

"Peristiwa itu berlaku ketika cuti persekolahan dan dalam terpaksa, kami semua hadir ke sekolah untuk melihat bendera Union Jack dinaikkan.

"Upahnya pula hanyalah air oren dalam botol dan beberapa keping biskut," katanya.

Mengenai kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957, Iyu berkata, beliau mengetahui mengenai perkara tersebut daripada guru-gurunya namun sedikit kesal kerana tidak dapat meraikan hari keramat tersebut kerana berada di kampung.

"Ketika itu kehidupan sukar, tiada kenderaan untuk ke bandar Kota Bharu kerana sambutan kemerdekaan diadakan di sana," katanya. - Bernama