Polis jangan dikongkong, dikawal pihak tertentu: Musa

Tan Seri Musa Hassan. Foto: SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR
Tan Seri Musa Hassan. Foto: SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menasihati pihak polis agar tidak menjadi mangsa kongkongan dan kawalan oleh mana-mana pihak untuk agensi itu menjalankan tugas.

Menurutnya, biarpun telah diwujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC), namun beliau masih menyarankan pihak polis untuk berhati-hati.

“Terpulang kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (dengan penubuhan IPCMC) itu, jika ia bagus untuk polis tetapi saya rasa perlu berhati-hati juga kerana kita tidak mahu polis dikongkong dan dikawal oleh mana-mana pihak.

“Polis mesti bebas untuk jalankan tanggungjawabnya. Dalam masa sama, polis masih dikawal oleh ketuanya sendiri dan BPR (Badan Pencegahan Rasuah) yang kini dipikul oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Dalam pada itu, Musa mengakui bahawa pihak polis sejak dahulu tidak lari daripada pelbagai tohmahan negatif sehingga memburukkan imej agensi itu, namun bahagian tatatertib polis sentiasa menjalankan siasatan bagi menilai kebenaran setiap tohmahan.

“Dahulu kita ada bahagian tatatertib tetapi sekarang PDRM telah wujudkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (JIPS) yang ditubuhkan berkaitan disiplin, malahan tugasnya lebih besar lagi tetapi dahulu bahagian tatatertib di bawah ketua polis negara, bukan bawah pengarah.

"Maka bermakna di sini bahawa setiap tohmahan kepada anggota polis perlu dimaklumkan kepada ketua polis negara dan ketua polis negara akan jalankan siasatan yang perlu dijalankan ke atasnya,” katanya.

Katanya, ketua polis negara ketika itu mewujudkan hubungan kerjasama dengan BPR bagi menyelesaikan segala tohmahan atau rasuah melibatkan polis.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi kini IPCMC, saya dimaklumkan telah diberi kuasa untuk menyiasat dan menghukum pegawai polis, semua peringkat termasuk ketua polis negara.

“Saya takut benda ini, jika nak buat boleh, bukan tak boleh. Cuma kita nak tahu siapa yang menjadi jawatankuasa IPCMC ini. Jika orang tak betul, kita takut polis dikawal oleh pihak lain kerana maklumlah sekarang macam-macam boleh berlaku,” katanya.