Jabatan Pendidikan NSW Australia mahu tamatkan program pendidikan bahasa Cina

No Image Caption
A
A
A

SYDNEY - China menyuarakan kebimbangan susulan keputusan Jabatan Pendidikan New South Wales (NSW) Australia untuk menamatkan program pendidikan bahasa Cina yang dijalankan bersama kedua-dua negara, lapor agensi berita Xinhua.

Konsulat Jeneral China di Sydney dalam satu kenyataan akhbar petang semalam meminta pihak NSW memberi penjelasan berhubung perkara terbabit.

Keputusan itu diambil selepas Jabatan Pendidikan NSW pada Mei tahun lalu mengkaji semula mengenai sokongan oleh pihak pemerintah atau organisasi asing terhadap pendidikan bahasa di sekolah kerajaan NSW.

Meskipun tiada bukti menunjukkan adanya "pengaruh politik", jabatan itu tetap memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan Institut Confucius mulai hujung 2019.

Ia bakal menyaksikan sebanyak 13 program di sekolah awam seluruh Sydney dan di negeri di bahagian tengah pantai utara akan ditamatkan.

Program itu diadakan sebagai lambang saling menghormati, persahabatan dan kesamarataan.

Ia menyumbang kepada peningkatan pertukaran budaya dan pendidikan dua hala di samping menggalakkan persefahaman dan persahabatan selain disambut baik penduduk setempat, katanya.

China menyedari Jabatan Pendidikan NSW akan terus mengukuhkan pendidikan bahasa Cina dan berharap akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu itu.

Artikel Berkaitan:

Kelas Confucius dijalankan di bawah program Institut Confucius, yang ditubuhkan selepas Jabatan Pendidikan NSW menandatangani perjanjian dengan Ibu Pejabat Institut Confucius pada 2011.

Ia sebagai tanda sokongan di peringkat tempatan untuk budaya dan pendidikan bahasa Cina. - Bernama