Masjid An-Nur Mukim Badak terbaik jajahan Bachok

Mohd Zain menerima hadiah kemenangan yang disampaikan Imam Tua Masjid Mahmoodi, Bachok, Baharin Yusoff (tengah).
Mohd Zain menerima hadiah kemenangan yang disampaikan Imam Tua Masjid Mahmoodi, Bachok, Baharin Yusoff (tengah).
A
A
A

KOTA BHARU - Komitmen tinggi daripada ahli jawatankuasa dan jemaah Masjid An-Nur Mukim Badak, Bachok dekat sini membolehkan ia dinobatkan sebagai Masjid Terbaik Jajahan Bachok 2019.

Imam Tua Masjid An Nur Mukim Badak, Mohd Zain Yacob berkata, usaha gigih ahli jawatankuasa dan jemaah masjid selama ini membuahkan hasil untuk melihat keindahan dan keceriaan masjid mereka diiktiraf.

Katanya, dalam masa yang sama masjid itu terus diimarahkan dengan pelbagai aktiviti harian, mingguan dan bulanan untuk penduduk sekitar.

“Pertamanya kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) yang mendorong masjid untuk menjadi lebih proaktif di seluruh negeri melalui aktiviti sebegini.

“Kami bersyukur kerana pengiktirafan julung kali ini memberi suntikan semangat kepada semua ahli jawatankuasa dan jemaah dalam usaha mengimarahkan masjid.

"Semuanya berkat kerjasama dan keikhlasan semua menjayakan semua aktiviti di masjid ini. Kami juga telah mengadakan gotong-royong dan majlis kesyukuran di atas kejayaan ini bagi meraikan semua yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, tahun lalu masjid mereka mendapat naib johan dan tahun ini rezeki mereka dinobatkan johan bagi kategori Masjid Terbaik Jajahan.

Justeru, beliau berharap komitmen sedemikian akan berterusan dalam menjaga dan mengimarahkan masjid ini bersama.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu diumumkan Ketua Penolong Jajahan Bachok, Mohd Shuhairy Samsudin dalam satu majlis ringkat di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok pada minggu lalu.

Sementara itu wakil jemaah belia masjid, Muhammad Ikmalul Iktimam Mahadhir pula berkata, kemenangan itu adalah kemenangan semua jemaah dan beliau menyeru anak muda bersama-sama imarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti disediakan.

“Masjid kita ada pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, kelas al-Quran dan sebagainya.

“Anak muda perlu dekati masjid kerana salah satu daripada tujuh golongan yang akan berada di arash naungan ALLAH SWT adalah pemuda yang hatinya ada di masjid. Saya juga doakan masjid ini sentiasa sukses dalam menjalankan pelbagai aktiviti untuk jemaahnya,” katanya.