Jemaah Masjid Changlun ucap terima kasih atas keprihatinan PM

Zainol Abidin (tengah) bersama Penolong Setiausahanya, Abu Bakar Mat Safar, 63, (kiri) melawat tapak masjid baharu pada Jumaat. - Foto Bernama
Zainol Abidin (tengah) bersama Penolong Setiausahanya, Abu Bakar Mat Safar, 63, (kiri) melawat tapak masjid baharu pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

CHANGLUN - Jemaah Masjid Changlun berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan kerajaan bersetuju meneruskan pembinaan baharu masjid itu dengan peruntukan tambahan sebanyak RM3.07 juta.

Timbalan Pengerusi Masjid Changlun, Zainol Abidin Mohamad, 65, berkat, masjid baharu yang lebih luas merupakan satu keperluan kerana masjid sedia ada hanya mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu masa sedangkan jumlah penduduk semakin bertambah dengan kewujudan taman perumahan baharu.

"Kita jangkakan angka ini akan bertambah ke angka antara 2,000 ke 3,000 jemaah pada masa depan... kami rakyat tempatan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin dengan keperluan rakyat di Changlun ini. Sebab kita dapati pada hari ini, perkembangan taman (perumahan) begitu pesat sekali dengan adanya UUM (Universiti Utara Malaysia),” katanya ketika ditemui Bernama pada Jumaat.

Masjid Changlun berusia lebih kurang 100 tahun. - Foto Bernama
Masjid Changlun berusia lebih kurang 100 tahun. - Foto Bernama

Pada April lepas, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju meneruskan projek pembinaan masjid itu dengan menjadikan keseluruhan kos pembinaan Masjid Changlun berjumlah RM5.77 juta.

Anwar akan melawat tapak serta melakukan pecah tanah pembinaan masjid itu sempena Majlis Mesra Bersama Masyarakat Kubang Pasu, esok dan difahamkan Perdana Menteri juga akan mengumumkan peruntukan menaik taraf klinik serta sekolah daif khususnya di Daerah Kubang Pasu.

Mengulas lanjut, Zainol Abidin mengharapkan Masjid Changlun sedia ada yang telah berusia lebih kurang 100 tahun itu dikekalkan untuk kegunaan solat harian walaupun masjid baharu siap kerana masjid itu menjadi pilihan pelancong untuk berhenti solat.

"Kita dapati para pelancong (pada) hujung minggu suka singgah di masjid ini (berada di tepi jalan besar), ada kalanya sehingga 12 bas singgah masjid ini untuk Solat Subuh, menggunakan tandas untuk bersihkan diri. Kami rasa kekalkan masjid ini, mungkin dinaik taraf lagi pasang penyaman udara,” katanya.

Sementara itu, jemaah yang juga Penolong Setiausaha Masjid Changlun, Abu Bakar Mat Safar, 63, berkata, pengumuman Perdana Menteri itu dapat memberikan keselesaan anak kariah tempatan untuk beribadah.

"Di mana masjid lama ini apabila hari Jumaat, kita melimpah ruang, hari perayaan (Aidilfitri dan Aidiladha), anak-anak kariah yang berada di luar pulang ke tempat asal mereka, jadi tidak memenuhi ruang, jadi terpaksa hampar tikar di luar.

Jadi, dengan hasrat PM (Perdana Menteri) membantu kita ini, kita mengucapkan berbanyak jutaan terima kasihlah daripada anak kariah, kami sedang menunggu, berasa teruja tunggu pembangunan Masjid Changlun yang baharu ini,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!