Grab Malaysia siap sedia untuk khidmat penumpang motosikal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat E-hailing, Grab Malaysia siap sedia untuk melaksanakan peningkatan dan inovasi keselamatan produknya bagi khidmat penumpang motosikal sekiranya negara memulakan perkhidmatan teksi motosikal sebagai satu khidmat pengangkutan.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat itu juga mencadangkan agar peraturan Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) membenarkan pembangunan satu set berasingan yang ketat mengenai ciri-ciri keselamatan khas motosikal berkenaan bagi melindungi orang awam.

“Grab menyatakan sokongan secara prinsip kepada Kabinet bagi permintaan penggunaan perkhidmatan motosikal di Malaysia namun pada masa yang sama menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan perkhidmatan itu.

“Ketika kerajaan mempertimbangkan undang-undang bagi perkhidmatan motosikal di Malaysia, kami percaya adalah penting untuk menitikberatkan aspek kritikal perkhidmatan ini - keselamatan penunggang, penumpang dan masyarakat keseluruhannya dengan mengambil kira infrastruktur jalan raya, keadaan trafik dan rekod keselamatan,” katanya.

Sean berkata, pada masa kini perkhidmatan penumpang motosikal Grab adalah nombor satu di Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Sehingga kini, Grab mewujudkan peluang pendapatan kepada lebih 10,000 rakan motosikal menerusi perkhidmatan GrabFood dan GrabExpress di sekitar Lembah Klang, Kuching, P. Pinang, Kota Kinabalu, Melaka dan Johor Bahru.

“Kita akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan untuk semua rakyat Malaysia termasuk belia, individu yang kurang upaya dan mereka yang lain yang mencari peluang pendapatan,” katanya.

Rabu lalu, Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan khidmat penumpang motosikal seperti perkhidmatan Gojek, namun satu kajian dari aspek perundangan akan dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek didakwa bakal beri banyak kesan negatif

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia