Sila log masuk terlebih dahulu.

Penempatan khas pekerja asing, Johor cari kaedah terbaik

Dzulkefly (tengah) ketika menyempurnakan Program Free Market dan Sambutan Hari Kebangsaan 2019.
Dzulkefly (tengah) ketika menyempurnakan Program Free Market dan Sambutan Hari Kebangsaan 2019.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan mengenal pasti kaedah terbaik bagi mengatasi masalah jenayah yang mungkin timbul sekiranya diwujudkan penempatan khas kepada warga asing yang bekerja di negeri ini.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, kawalan tertentu juga perlu diambil kira bagi mengelak masalah yang bakal muncul.

"Seperti di kawasan saya, memang ada penempatan khas kepada warga asing di Forest City ini, namun timbul masalah lain.

"Antaranya apabila disatukan daripada pelbagai negara, mereka menjadi lebih agresif dan banyak kes pergaduhan berlaku selain terdapat aktiviti pelacuran.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan cuba mengenal pasti mana kaedah yang terbaik di samping mewujudkan kawalan ekoran sistem baru itu akan dilaksanakan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang perkembangan cadangan kerajaan negeri yang mahu menyediakan penempatan berpusat atau khas yang dikawal untuk pekerja asing yang bekerja di negeri ini.

Sebelum ini, Dzulkefly memberitahu, cadangan itu sebagai langkah jangka panjang bagi mengawal pekerja asing di Johor selain memastikan mereka tidak menjadi ancaman kepada penduduk negeri ini serta aspek keselamatan pekerja itu sendiri.

Terdahulu, beliau menyempurnakan program Free Market dan Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Taman Universiti, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri kagum dengan usaha sama yang telah dibangunkan oleh negara jiran, Singapura.

"Setakat ini, projek di Pengerang membabitkan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang mempunyai penempatan khas untuk warga asing yang bekerja di situ.

"Tetapi saya lebih tertarik dengan model dari Singapura yang mana mereka menghadkan pergerakan warga asing supaya tidak bercampur masyarakat kecuali golongan profesional," katanya.

Tambahnya, beliau akan membawa perkara itu lagi kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan supaya ia dapat diperhalusi oleh Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan.

"Perbincangan bersama majikan akan dilaksanakan. Bukan setakat pandangan masyarakat sahaja yang diperlukan, bahkan kita juga akan berbincang dengan pemimpin setempat dan pihak polis untuk mendapatkan statistik jenayah," katanya.