Empat beradik warga emas harap bantuan

Kok Onn (dua dari kiri) bersama dua adik perempuannya akan menjaga Kok Ngow (terbaring) secara bergilir-gilir sejak dua tahun lalu.
A
A

IPOH - Tiga beradik warga emas di sini sanggup bergilir-gilir menjaga adik lelaki mereka yang kini lumpuh selepas terjatuh dari basikal dua tahun lalu.

Ng Kok Ngow@Ng Kok Yoong, 74, hanya terlantar dan perlu dijaga oleh adik perempuannya, Ng Lai Yee, 70, di sebuah rumah usang di No 15, Jalan Chuk Kai, Falim di sini.

Manakala abangnya, Ng Kok Onn, 79, dan kakaknya, Ng Kwai Yee, 76, pula akan menaiki bas dari rumah mereka di Bandar Seri Botani untuk mengambil alih tugas menjaga dan memandikannya.

Kok Onn berkata, mereka berempat tiada sumber kewangan dan hanya menjaga Kok Ngow seadanya termasuk berkongsi nasi yang dibeli dari kedai berhampiran.

"Dulu dia bekerja sebagai buruh di bengkel cat kereta dengan upah RM10 sehari, tapi sejak lumpuh tiada lagi sumber pendapatan tetap dan hanya mengharapkan ihsan adik-beradik dan jiran-jiran yang bersimpati.

"Kadang kala kami perlu berkongsi duit untuk bawa adik mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan menyewa teksi.

"Tapi minggu ini kami amat kerap pergi ke hospital," katanya ditemui ketika menerima lawatan daripada Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan di sini hari ini.

Guo Nan (kanan) menziarahi keluarga Ng yang menerlukan bantuan untuk menguruskan adik mereka yang terlantar selepas lumpuh dua tahun lalu.
Guo Nan (kanan) menziarahi keluarga Ng yang menerlukan bantuan untuk menguruskan adik mereka yang terlantar selepas lumpuh dua tahun lalu.

Menurutnya, mereka tidak menerima sebarang bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan perlu berhadapan dengan karenah birokrasi.

"Kami pernah memohon bantuan tetapi disebabkan perlu pelbagai dokumen termasuk mendapatkan surat daripada pihak hospital, ia menyukarkan kami.

"Kami semua tidak fasih berbahasa Melayu dan kadang kala tak faham. Saya bimbang dengan adik perempuan saya, kalau saya tiada, bagaimana mereka nak uruskan diri adik," katanya.

Sementara itu, Guo Nan berkata, keluarga itu memerlukan pelbagai bantuan termasuk lampin pakai buang dewasa.

"Mereka warga emas tidak mempunyai kudrat untuk menguruskan adik mereka. Pernah bantu untuk dimasukkan ke rumah jagaan orang tua-tua tapi kebanyakannya ditolak.

"Mereka yang juga menyewa rumah usang ini lebih 100 tahun turut berhadapan dengan banjir dan ular. Sekiranya ada rumah jagaan yang sudi bantu ambil mereka dua beradik, amat dialu-alukan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia