Jangan sertai himpunan bantah tulisan jawi, Zakir Naik: PDRM

A
A

KUALA LUMPUR - Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan Bantah Tulisan Khat Untuk Sekolah Tamil dan 'Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races' yang dijadual berlangsung esok dan Sabtu di Brickfields.

Ini susulan penganjur kedua-dua himpunan itu, gagal mengemukakan notis pemakluman yang lengkap kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, polis telah menerima notis pemakluman daripada kedua-dua penganjur himpunan berkenaan mengikut seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Bagaimanapun, notis yang dikemukakan didapati tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyertai perhimpunan ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perhimpunan Bantah Tulisan Khat Untuk Sekolah Tamil dijadual diadakan esok jam 7 malam di Water Fountain Little India, Brickfields.

Manakala esoknya (Sabtu) di lokasi sama perhimpunan Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races' dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia