Murid tahun tiga terlantar selepas alami demam panas

Pui (kanan) menyerahkan keperluan harian Faiz kepada ibunya, Sarimah (dua, kanan) ketika lawatan mereka ke rumah murid itu di Taman Tiong hari ini.
Pui (kanan) menyerahkan keperluan harian Faiz kepada ibunya, Sarimah (dua, kanan) ketika lawatan mereka ke rumah murid itu di Taman Tiong hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang murid tahun tiga, Tuan Muhammad Faiz Tuan Mansor, 9, tidak lagi mampu belajar dan bermain seperti rakannya yang lain selepas anggota badannya kejang akibat demam panas sejak dua bulan lalu.

Ibunya, Sarimah Mat Ail, 49, berkata, anaknya kini terlantar kekejangan akibat jangkitan kuman selepas mengalami demam panas selepas Aidilfitri lalu.

Menurutnya, Faiz seorang anak yang aktif dan murid kelas pertama di Sekolah Kebangsaan Tiong, namun kini dia tidak lagi mampu bertutur apalagi berinteraksi atau bergerak seperti biasa.

“Kaki dan tangannya tak dapat diluruskan dipercayai akibat masalah saraf, kalau kita cuba luruskan dia akan menangis sebab sakit. Mulanya Faiz hanya demam saja, lepas itu dia sembuh dan dapat ke sekolah beberapa hari sebelum demam kembali dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Tiga hari dalam wad paras oksigennya menurun dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan. Doktor jalankan beberapa ujian dan akhirnya mengesan kuman dalam otak Faiz. Ketika itu Faiz dah tak sedarkan diri selama 28 hari.

“Lepas diberikan rawatan Faiz sedar semula namun keadaannya tak seperti biasa lagi. Semuanya perlu diuruskan oleh kami dan bahagian tekaknya ditebuk untuk mengeluarkan kahak dan mengelak jangkitan kuman ke peparu,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima lawatan Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), hari ini.

Sarimah berkata, setakat ini semua keperluan anaknya dibeli sendiri termasuk katil, susu khas, lampin pakai buang dan peralatan menyedut kahak.

Difahamkan, murid ini masih belum menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak dan hanya bergantung kepada pendapatan bapanya, Tuan Mansor Raja Omar, 50, yang bekerja sebagai kerani.

Artikel Berkaitan:

Buat masa ini Sarimah dibantu anak keduanya, Tuan Nur Fitriah, 23, untuk menguruskan Faiz.

Hadir sama menziarahi anak bongsu daripada enam beradik itu ialah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pasir Tumboh, Dazlan Malik.

Dazlan berkata, beliau kecewa kerana belum ada pihak yang cakna dengan keadaan murid berkenaan.

“Dalam tempoh dua bulan ini tak ada sebarang bantuan atau sumbangan dihulurkan untuk murid ini. Anak ini perlukan pelbagai bantuan termasuk kos sewa ambulans kira-kira RM100 setiap kali ke hospital.

“Saya harap pihak Jabatan Pendidikan dan pemimpin setempat dapat mengambil berat dan membantu murid yang ditimpa kesusahan begini. Ini bukan kali pertama murid sekolah ini diabaikan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KKCK, Pui Tiong Lam telah menghulurkan beberapa keperluan harian untuk Faiz dan pihaknya akan membantu mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita akan bantu setakat yang mampu dan usahakan bantuan daripada pihak lain. Namun, dalam masa sama kita harap pihak lain terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah tidak bersikap lepas tangan dan bantu murid ini untuk hadapi ujian penyakitnya,” katanya.