Abdul Somad enggan mohon maaf

Abdul Somad (tengah) memberi penjelasan selepas bertemu dengan MUI di Jakarta semalam.
A
A

JAKARTA - Pendakwah Indonesia, Abdul Somad memilih untuk tidak meminta maaf berhubung ceramahnya tentang salib dan memaklumkan ia dinyatakan bagi menjawab soalan peserta yang hadir majlis ilmu agama tersebut.

Menurutnya, ceramah itu dilakukan di dalam masjid dan turut membahaskan tentang hukum Islam.

"Ada segelintir yang tersinggung dengan penjelasan saya, perlukah saya meminta maaf?' soal Abdul Somad ketika bertemu dengan kepimpinan Majlis Ulama Indonesia (MUI) di Jakarta Pusat semalam.

Beliau kemudiannya menggunakan contoh Ayat 73, Surah al-Maidah yang bermaksud, 'Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: 'Bahawasanya ALLAH salah seorang dari yang tiga'.

"Saya jelaskan itu di hadapan para hadirin. Secara automatik, orang luar yang mendengar ayat itu berasa tersinggung. Adakah saya perlu minta maaf?" jelasnya.

Menurutnya lagi, ceramah secara tertutup itu dibuat pada waktu Subuh di Masjid Agung An-Nur Riau dan tidak dilakukan di tempat awam.

Difahamkan, ceramah itu diadakan tiga tahun lalu dan menjadi tular baru-baru ini.

Abdul Somad juga percaya tidak ada kesilapan dalam ceramahnya.

"Saya menyampaikan perkara sama di mana-mana. Tidak mungkin saya meminta setiap orang mematikan telefon bimbit mereka. Tak mungkin saya membuat larangan seperti itu," ujarnya.

Nama Abdul Somad mula menjadi kontroversi selepas video ceramah beliau tentang salib menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi kurang senang hingga ada pihak yang membuat aduan tentang itu kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Komunikasi MUI, Masduki Baidlowi berkata, kes melibatkan Abdul Somad perlu menjadi pengajaran bagi seluruh orang Islam.

"Tokoh agama perlu lebih berhati-hati tentang isi ceramah mereka. Kejadian ini perlu menjadi peringatan kita bersama. Kami meminta perkara ini tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan dengan baik," katanya sambil menambah MUI enggan mengulas tentang kandungan ceramah itu. - Tempo.co


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia