Kerajaan kena tegas isu provokasi Jalur Gemilang

Nik Saiful Adli
Nik Saiful Adli
A
A
A

KOTA BHARU - Sudah tiba masanya kerajaan mahupun pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap individu mahupun premis yang sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihak yang melakukan provokasi sebegini wajar dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, sejak akhir-akhir ini kejadian memasang bendera terbalik dan songsang sudah kelihatan menjadi budaya sebahagian golongan yang tidak hormat kepada lambang negara ini.

“Jika 62 tahun dulu rakyat negara ini bangga dengan turunnya Union Jack dan dinaikkan bendera Malaysia, hari ini tanda hormat sebegitu hampir hilang bersama hilangnya jiwa patriotik rakyat Malaysia.

“Tidak sedarkah mereka bahawa jika bukan kerana kemakmuran hasil kemerdekaan negara ini, untuk beli bendera itu pun mereka takkan mampu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kecewa dengan senario yang berlaku itu, Nik Saiful Adli berkata, protes terhadap pentadbiran kerajaan mahupun parti politik tertentu bukanlah wajar dilepaskan melalui tindakan menghina lambang negara.

“Jangan gadaikan patriotisme semata-mata untuk memenuhi nafsu politik kepartian semata-mata.

“Negara ini mempunyai banyak undang-undang yang mengawal selia peraturan mengenai penggunaan bendera dan lambang negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penerangan Puteri UMNO Kelantan, Nurul Najihah Yasim pula berkata, bendera kebangsaan merupakan lambang kedaulatan sesebuah negara dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap individu yang bertindak kurang ajar.

Lebih-lebih lagi menurutnya, pihak berkenaan seolah-olah tidak menghormati lambang kedaulatan raja-raja Melayu.

“Pelbagai polemik sengaja disuarakan oleh bangsa bukan Melayu dan disokong oleh menteri-menterinya yang seolah-olah menidakkan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini.

“Isu tulisan jawi, askar Melayu, surat khabar terbitan Melayu dan agama Islam seperti dipermainkan. Jangan nyalakan api, buruk padahnya,” katanya kepada Sinar Harian.