Masjid Kuipsas lokasi Malaysia#QuranHour peringkat Pahang

Program Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang tahun lalu yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Permatang Badak, Paya Besar di sini mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat. (Gambar kecil: Mohd Rozamli)
Program Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang tahun lalu yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Permatang Badak, Paya Besar di sini mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat. (Gambar kecil: Mohd Rozamli)
A
A
A

KUANTAN - Sekretariat Rumah Ngaji Pahang meneruskan tradisi bersama menjayakan Malaysia #QuranHour 1440H/2019 yang akan diadakan serentak seluruh negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 pada 30 Ogos ini.

Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) dipilih sebagai lokasi sambutan Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini.

Penyelaras Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kuipsas bagi menjayakan kempen tersebut.

Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakan bersama Kuipsas bagi mengatur perancangan dan gerak kerja termasuk penubuhan jawatankuasa pelaksanaan dan pengelola program.

“Kami juga sedang mengenal pasti qari jemputan, pentausiah dan perasmi program ini di mana keputusannya mungkin akan dicapai pada mesyuarat itu nanti.

“Dalam konteks pengisian, memandangkan masa yang agak terhad kerana ia berlangsung pada hari Jumaat, jadi kita akan lebih memberi penekanan kepada bacaan 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir surah al-Kahfi yang menjadi surah pilihan.

“Selain itu kita juga akan memberi penekanan kepada tausiah pesan kemerdekaan yang tersingkap di sebalik ayat-ayat dari surah al-Kahf yang dibacakan”, katanya.

Beliau berkata, pesan kemerdekaan daripada al-Quran ini berdasarkan intipati yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibacakan termasuk mengenai sifat bersyukur dan tidak syirik, yakin bantuan ALLAH, syurga adalah kebahagiaan hakiki, amaran terhadap amalan sia-sia golongan pendusta, kufur dan mereka yang memperolokkan agama.

Artikel Berkaitan:

“Tema ‘Pesan Kemerdekaan Surah Al-Kahf’ ini amat bersesuaian dengan sambutan Hari Kemerdekaan.

“Kalau ikutkan nota diberi untuk keseragaman di semua negeri, ia masih terikat dengan surah al-Kahf di mana intipati daripada ayat itu dapat menjadi pesanan kepada umat islam dalam suasana kita bakal menyambut kemerdekaan”, katanya.

“Pesanan di sebalik dari ayat-ayat ini sebenarnya menjurus kepada mengajak umat Islam supaya sentiasa bergantung kepada ALLAH dan bersyukur bahawa kemerdekaan itu juga sebahagian daripada nikmat ALLAH dan nikmat itu perlu diperlakukan seperti mana yang dituntut syariat”, katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rozamli berkata, bagi menjayakan sambutan Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini, pihaknya berusaha untuk mengajak seramai mungkin umat Islam untuk bersama-sama menyertainya.

“Justeru kami akan mendapat kerjasama dengan pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk mendapatkan kebenaran hebahan program ini ke masjid-masjid.

“Pada masa sama, kami juga turut menyasarkan penyertaan pelajar sekolah-sekolah berdekatan, pelajar pusat tahfiz, kumpulan tahsin dan kelas tafaqquh dan masyarakat sekitar”, katanya.

Malaysia #QuranHour 1440H/2019 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 yang bakal berlangsung serentak di seluruh negara dengan lokasi utama di di Masjid Putra, Putrajaya.

Program yang akan bermula pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari itu bakal menyaksikan umat Islam di negara ini dan di luar negara turut berinteraksi dengan al-Quran pada hari dan waktu sama di tempat masing-masing.