Usia bukan penghalang untuk berjaya dalam pelajaran

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini seorang sahabat penulis berusia lebih 50 tahun mengambil peperiksaan ijazah sarjana muda di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Walaupun dilihat usianya agak lewat untuk menyambung pengajian jika dibandingkan dengan pelajar lain, ia bukanlah penghalang baginya untuk mengecap kejayaan dalam pelajaran.

Katanya, untuk berjaya kita jangan mudah berputus asa.

Walaupun dianggap sudah agak lewat menyambung pengajian, tetapi baginya itulah keseronokan mencabar dirinya dan juga mencabar anak-anaknya untuk turut cemerlang dalam apa jua bidang diceburi.

Ceritanya lagi, waktu muda hidupnya agak susah.

Meskipun mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), disebabkan kemiskinan hidup keluarganya, dia terpaksa pendamkan cita-citanya untuk ke menara gading.

Lebih-lebih lagi dia sebagai anak sulung terpaksa membantu keluarganya untuk menyara adik-adiknya seramai lima orang yang masih bersekolah lagi.

Rezeki menyebelahinya selepas itu apabila diterima bekerja dalam sektor awam sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan. Dengan gaji yang ada ketika itu, dia masih belum mampu untuk meneruskan hajatnya ke menara gading.

Selepas semua adiknya berjaya dan ada anaknya yang sudah pun melanjutkan pengajian ke IPTA, kini dia bersedia untuk mengejar cita-citanya itu untuk menggenggam segulung ijazah.

Meskipun masih baru menjejakkan kaki ke IPTA, dia yakin dengan keazaman dan kesabaran yang dimilikinya dia mampu berjaya.

Artikel Berkaitan:

Penulis menjadi kagum dan benarlah jika kita ada keazaman dan tekad merubah diri kita, insya-ALLAH kita mampu melaksanakannya walaupun seberat mana dugaan yang kita hadapi.

Semoga sahabat penulis ini berjaya menggenggam ijazah yang diimpikannya dan jika ada rezeki mungkin dia mampu melangkau lebih jauh dalam bidang akademik.