Pesta makanan hidang masakan Kelantan, Siam

Gambar hiasan (gambar kecil, Mohd Aidil Afizie Daud)
A
A

KOTA BHARU - Bukan hanya makanan Kelantan tetapi pelbagai jenis makanan dan kuih dari negara jiran juga disediakan di Festival Pesta Makanan dan Warisan Asia Kelantan 2019 pada 22 hingga 31 Ogos ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Kelantan (Motac), Mohd Aidil Afizie Daud berkata, pelbagai jenis kuih, makanan tradisi dan minuman disediakan di festival tersebut yang bakal diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

"Lebih 100 jenis minuman serta ratusan jenis kuih tradisional Kelantan termasuk yang dibawa dari negara jiran Thailand bakal menemui pengunjung di festival tersebut.

"Inilah peluangnya untuk kita di Kelantan dan seluruh negara mencuba sendiri semua makanan yang disediakan. Tambahan pula ada di antara kuih yang sangat jarang ditemui," katanya kepada pemberita.

Mohd Aidil Afizie berkata, kebanyakan masyarakat kini lebih memilih air yang bersifat menyejukkan badan dan berherba jadi untuk festival kali ini, pelbagai jenis air disediakan antaranya kelapa laut koktel, minuman herba hutan, minuman air ramuan khazanah rimba dan sebagainya.

Tambahnya, makanan tradisi Kelantan juga di antara yang akan membarisi lebih 100 menu disediakan seperti puding raja versi Kelantan, kuih lidah buaya dan sebagainya.

"Ini masanya untuk kita rasa sendiri kepelbagaian yang kita ada. Festival ini juga merupakan salah satu inisiatif menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara datang ke Kelantan, untuk rasai sendiri pelbagai jenis masakan yang kita sediakan.

"Festival ini juga akan kumpul lebih 100 pengusaha dan vendor dari Kelantan dan Thailand yang terlibat menyediakan pelbagai masakan serta minuman," katanya.

Aidil berkata, bukan hanya menu menarik namun pelancong dan pengunjung juga diserikan dengan pelbagai acara kebudayaan, persembahan dan permainan sepanjang festival berlangsung.

Malah pihaknya turut menyasarkan kehadiran lebih 150,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM1 juta.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia