Gaji RM3,800 sebulan tidak cukup tampung kehidupan di bandar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pendapatan isi rumah sebanyak RM3,800 sebulan tidak dapat menampung kehidupan di bandar menyebabkan masalah kemiskinan semakin membimbangkan.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, kajian mendapati sebahagian orang yang berhadapan dengan masalah kemiskinan bandar ialah mereka yang tinggal di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Masalah ini melibatkan dua faktor utama iaitu pendapatan yang rendah dan tahap pendidikan. Majoriti daripada mereka hanya mempunyai pendidikan peringkat menengah ke bawah dan mereka cuma bekerja dalam kategori perkeranian dan pentadbiran atau pekerjaan biasa sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohamad Fazli menjelaskan, jika kemiskinan bandar tidak ditangani dengan baik, dibimbangi ia akan menimbulkan masalah sosial dalam komuniti setempat seperti dadah, vandalisme, buli dan keciciran dalam pendidikan.

“Kesempitan hidup menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat untuk menampung kehidupan mereka sehingga anak-anak mereka terabai dan tidak mendapat perhatian sewajarnya. “Ini menyebabkan timbul masalah-masalah lain dan akhirnya menyebabkan gejala kemiskinan bandar menjadi satu kitaran masalah yang tidak berkesudahan apabila kemiskinan itu diwariskan kepada anak-anak,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Mohamad Fazli berkata, ada dalam kalangan mereka tidak mahu mengubah sikap sebaliknya terlalu mengharap kepada bantuan.

“Berdasarkan pemerhatian saya, ada yang juga yang tidak pandai untuk menguruskan kewangan dengan baik sehingga mereka gagal untuk mengurus kehidupan mereka di bandar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pendidikan adalah satu kaedah terbaik untuk mengatasi masalah itu selain memastikan bantuan kerajaan dapat diagihkan dengan lebih baik dan adil.

Artikel Berkaitan:

“Pertama, kita perlu lihat semula agihan bantuan kerana ada yang mengeluh tidak dapat bantuan dan kedua, tiada cara lain selain menerusi pendidikan," katanya.