Sembunyi dadah dalam kandang kambing

No Image Caption
A
A
A

MARANG - Penahanan lelaki berusia 40 tahun membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM60,000 yang disembunyikan dalam kandang kambing di Mak Kemas di sini pada Rabu.

Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, suspek itu ditahan hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, bertindak atas maklumat risikan.

Menurutnya, hasil serbuan pihaknya menahan suspek di kandang kambing miliknya dan pemeriksaan menemui dua beg hitam dan satu kotak mengandungi dadah di atas lantai tingkat atas kandang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 1,100 pil yaba, 23 paket pelbagai saiz berisi syabu, 14 biji pil Erimin 5, alat penimbang, telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM1,300.

“Keseluruhannya, hasil rampasan dadah berkenaan bernilai RM60,250 dan ia dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah Marang,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan dipercayai aktif melakukan kegiatan itu bermula sejak Mei tahun lalu.

Katanya, suspek terbabit kini direman seminggu sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan juga sedang dilakukan bagi mengetahui dari mana bekalan dadah itu diperoleh dan kita juga sedang mengenalpasti rangkaian pengedarannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, IPD Marang mencatatkan penangkapan tertinggi terhadap penagih berulang mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 di Kontinjen Terengganu dengan 21 tangkapan sepanjang tahun ini.