Miskin bandar lebih serius daripada miskin kampung: Rina

Rina - Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
Rina - Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun melahirkan kebimbangan dengan gejala kemiskinan bandar yang membelenggu warga kota dan beliau menyifatkannya lebih serius daripada kemiskinan di kampung.

Rina yang merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa di Kuala Lumpur berkata, lebih banyak peluang pekerjaan perlu dicipta untuk golongan muda di kampung bagi mengurangkan penghijrahan orang muda ke bandar untuk mencari rezeki tetapi akhirnya tetap terperangkap dengan masalah kemiskinan bandar.

Katanya, berdasarkan data dan pemerhatian beliau, rata-rata rakyat Malaysia yang berdepan dengan masalah miskin bandar, malah menjadi gelandangan di rumah transit di ibu kota, adalah terdiri daripada kumpulan rakyat yang berasal dari kawasan luar bandar.

“Bagi saya, miskin bandar lebih serius. Mereka yang miskin luar bandar ini walaupun rumahnya daif, tetapi itu rumah sendiri. Di Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar, misalnya, mereka terpaksa menyewa rumah atau bilik yang melibatkan kos-kos tertentu, namun jika tidak berkemampuan ada antara mereka ini terpaksa menjadi gelandangan.

“Walaupun berpendapatan rendah di luar bandar, masyarakat desa masih lagi berpeluang mengecapi kehidupan yang boleh dianggap selesa kerana terdapat ruang tanah di sekitar rumah mereka untuk bercucuk tanam bagi mengurangkan kos hidup.

“Sungguhpun tidak berkemampuan dari segi kewangan tetapi mereka juga mempunyai penempatan sendiri, sekurang-kurangnya tinggal di rumah keluarga untuk berteduh,” katanya dalam wawancara eksklusif di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya baru-baru ini.

Katanya, menerusi lawatan beliau ke rumah transit di Parlimennya sendiri iaitu Parlimen Titiwangsa, Rina berkata, dalam kalangan 125 orang gelandangan yang tinggal di situ, hanya seorang berasal dari Kuala Lumpur.“Selebihnya adalah mereka yang datang dari kampung atau luar bandar untuk mencari pekerjaan di ibu kota.

“Jadi selaku kerajaan memerintah hari ini, kalau kita dapat bantu sediakan peluang pekerjaan di luar bandar, mereka tidak perlu berhijrah dengan keadaan hidup di bandar yang susah sehingga mereka terpaksa jadi gelandangan,” katanya.

Artikel Berkaitan: