Empat ditahan menyamar jadi anggota polis

Empat suspek yang ditahan selepas menyamar sebagai polis dan memeras ugut warga asing.Gambar kecil: Mohd Iqbal Ibrahim
Empat suspek yang ditahan selepas menyamar sebagai polis dan memeras ugut warga asing.Gambar kecil: Mohd Iqbal Ibrahim
A
A
A

LANGKAWI - Tindakan empat lelaki menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut seorang lelaki Rohingya mengundang padah apabila mereka ditahan di pulau lagenda itu, Jumaat lalu.

Ketua Polis daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, empat suspek berusia antara 28 hingga 50 tahun termasuk seorang warga Myanmar diberkas di dua tempat berasingan iaitu di sebuah rumah rehat di Pantai Chenang dan Kampung Tanjung Mali, Kedawang sekitar jam 10 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek itu didakwa pergi ke bilik sewa didiami mangsa bersama dua rakannya di Kampung Didik, Kuah pada jam 1 petang, hari yang sama.

“Dua suspek masuk ke dalam bilik sewa itu dan perkenalkan diri sebagai polis, seterusnya suspek meminta wang daripada mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek turut memeras ugut mangsa supaya menyerahkan wang sekiranya mahu menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

“Mangsa turut mendakwa dipukul kerana tidak mempunyai wang untuk diberikan kepada suspek. Mangsa juga kemudiannya diarahkan mencari wang dan menyerahkan kepada suspek di sebuah restoran selepas solat Jumaat,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuah.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) selain mangsa juga tidak mengenali kesemua suspek,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Iqbal berkata, hasil soal siasat dijalankan semua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu.

“Tiga daripada empat suspek terbabit memiliki rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk dadah, manakala ujian air kencing kesemua suspek adalah negatif bahan terlarang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 385 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.