Kebajikan, keselamatan dan kesihatan fokus tambah baik operasi TH

Syed Saleh Syed Abd Rahman
A
A

MAKKAH - Kebajikan, keselamatan dan kesihatan jemaah haji merupakan fokus utama Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menambah baik perkhidmatannya pada musim haji akan datang, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Beliau berkata, selepas musim haji tahun ini selesai, TH akan mengadakan mesyuarat 'post mortem' bagi menilai secara terperinci tentang perjalanan musim haji tahun ini serta ruang untuk menambah baik terutama melibatkan tiga fokus tersebut.

"Kita juga akan mengumpulkan maklum balas daripada semua pihak yang terlibat dan Tabung Haji juga akan terus adakan mesyuarat penutup dengan beberapa agensi haji yang terlibat secara langsung antaranya Kementerian Haji dan Umrah, Muassasah Asia Tenggara dan Muassasah Adilla di Madinah.

"Kita akan bincangkan mengenai usaha untuk tambah baik kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia," katanya pada sidang media rangkuman operasi haji tahun ini di Ibu Pejabat TH, Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata, selain itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa akan menghadiri mesyuarat tahunan bersama pihak kerajaan Arab Saudi bagi membincangkan pelbagai perkara mengenai penambah baikkan operasi haji.

Bagaimanapun, beliau berkata memberikan kemudahan tambahan untuk sesebuah negara bukan perkara mudah kerana kawasan serta kemudahan terutama di Arafah dan Mina amat terhad dan jumlah jemaah haji yang ramai.

"Kita akan membuat perbincangan secara berterusan bagi melakukan tambah baik kemudahan. Tahun depan juga kita akan lihat daripada segi peraturan kerana setiap tahun ada peraturan serta kemudahan baharu, daripada itu kita akan merancang operasi haji kita,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan memendekkan tempoh masa jemaah haji berusia mengerjakan haji, beliau berkata cadangan itu akan diperincikan selepas ini namun ia mempunyai kekurangan dan kelebihan yang tersendiri.

"Ada jemaah yang berumur kurang sihat perlukan masa juga untuk stabilkan diri sebelum ke Arafah, Muzdalifah dan Mina kerana cuaca di sini amat berbeza. Sokongan mereka juga berubah daripada keluarga kepada rakan juga petugas selain makanan juga berubah, ini semua perlukan masa," katanya.

Ditanya tentang perkara yang membuatkan dirinya tersenyum pada musim haji kali ini, Syed Saleh berkata tentunya melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah setiap jemaah haji kerana telah berjaya melaksanakan ibadah itu.

"Bila mereka pulang ke hotel dengan diri keadaan tidak terurus selepas ibadah Masyair yang amat mencabar itu mereka mampu tersenyum gembira malah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tabung Haji kerana membantu mereka, itu saya tidak akan dapat lupakan," katanya dengan nada sebak.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia