Pendirian bercanggah, PH alami kecelaruan dasar

Laporan Sinar Harian semalam. (Gambar kecil, Ahmad Yahaya)
Laporan Sinar Harian semalam. (Gambar kecil, Ahmad Yahaya)
A
A
A

ALOR SETAR - Percanggahan pendirian dua Exco Kedah berhubung isu pendakwah, Dr Zakir Naik menggambarkan Pakatan Harapan (PH) Kedah turut berdepan kecelaruan dasar, sama seperti kerajaan Pusat.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, ia jelas menunjukkan berlaku kecelaruan dasar dan budaya pentadbiran negara yang tidak sihat.

Menurutnya, tokoh berkenaan bukanlah punca tercetusnya masalah, sebaliknya pihak yang memutar belit kenyataan Zakir yang menjadikan situasi semakin tegang.

“Di peringkat kerajaan Pusat, DAP mendesak supaya Zakir dihantar balik, satu pihak lain dalam pakatan sama pula mempertahankan beliau. Zakir adalah amanah Allah SWT untuk umat Islam sejagat dan merupakan aset berharga untuk negara atas keupayaan beliau, sewajarnya dihargai dan dimanfaatkan, bukan disekat dakwahnya.

"Pas Kedah mencabar Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Agama, Datuk Dr Ismail Salleh menunjukkan apakah kerosakan dibawa Zakir sehingga dihalang untuk mengadakan ceramah di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan supaya tiada ada pihak cuba 'kambing hitamkan’ penceramah itu dengan pelbagai provokasi murahan.

“Realitinya yang menimbulkan ketegangan kaum adalah DAP, bukannya Zakir. Kemungkinan besar halangan itu dibuat adalah kerana akur dengan kehendak parti terbabit.

“Banyak isu yang menimbulkan polemik, seterusnya mewujudkan suhu politik yang tidak menentu khususnya hubungan antara kaum. Ia bukan gambaran kesuburan demokrasi, sebaliknya kecelaruan dasar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pas yakin masyarakat bukan Islam tidak membenci agamawan itu sekiranya menerima maklumat betul, dan tidak 'dimomokkan' maklumat yang diputar belit sehingga menimbulkan kebimbangan mereka.

"Sekiranya Pas mentadbir Kedah, Stadium Darul Aman akan dijadikan pentas ceramah untuk golongan ulama seperti Zakir," katanya.

Semalam, Dr Ismail berkata, Kedah mengambil langkah sama seperti Perlis dengan tidak membenarkan Zakir mengadakan ceramah di negeri ini susulan kontroversi melibatkan pendakwah itu dan ia dilakukan untuk memelihara keharmonian kaum di negara ini, namun Zakir dibenarkan mengunjungi Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Zakir Naik: Pendirian Exco Kedah tidak senada

Bagaimanapun, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, Mohd Firdaus Ahmad pula menegaskan tiada masalah membenarkan Zakir mengadakan ceramah selagi tidak menjurus kepada unsur sensitiviti pelbagai kaum.

Beliau berkata, sekiranya ceramah Zakir hanya berkisar kepada perkongsian ilmu agama dan mendidik masyarakat berkaitan Islam, ceramah itu tidak seharusnya dihalang.