Semai semangat patriotik melalui puisi, gurindam

Antara peserta yang terlibat dalam program Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri bertempat di Laman Budaya Shah Alam di sini hari ini.
Antara peserta yang terlibat dalam program Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri bertempat di Laman Budaya Shah Alam di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Semangat patriotik dan cintakan tanah air dizahirkan melalui puisi dan gurindam pada program Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri bertempat di Laman Budaya di sini hari ini.

Program yang dianjurkan ini merupakan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan mendapat sokongan daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKNS).

Yang Dipertua Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (Kemudi), Zainal Mohd Jais berkata, penyertaan terdiri daripada warga Selangor seramai 26 orang.

"Untuk penyertaan kali ini, puisi yang dideklamasikan merujuk puisi-puisi dalam Buku Antologi Puisi Kemerdekaan Tanggam Warisan terbitan Gapena pada tahun 2019 menggantikan Antologi Kemerdekaan Lentera Zaman yang telah digunakan sejak tahun 2014.

"Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan yang diadakan setiap tahun ini telah meluas minat masyarakat terhadap puisi dari peringkat kanak-kanak sekolah hinggalah kepada Perdana Menteri," katanya kepada media pada program Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri bertempat di Laman Budaya di sini hari ini.

Para peserta semangat menyampaikan puisi bertemakan kemerdekaan.
Para peserta semangat menyampaikan puisi bertemakan kemerdekaan.

Menurut Zainal, paling utama puisi-puisi bersemangat patriotik telah diterima masyarakat sebagai satu saluran menyampaikan perasaan dan fikiran terhadap negara dan alam sekitar.

"Melalui sayembara ini, puisi-puisi bersemangat patriotik dan cintakan tanah air akan bergema di seluruh pelosok negara.

Artikel Berkaitan:

"Acara ini berperanan sebagai satu kegiatan yang mampu membina generasi berjiwa besar, gigih dan bersemangat waja untuk merealisasikan wawasan negara kita menuju Cemerlang Gemilang Terbilang," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail berkata, MBSA menjadikan kegiatan puisi ini sebagai salah program Kota Seni Shah Alam.

"Shah Alam dan Petaling Jaya telah digagaskan sebagai Kota Seni semenjak 2015 oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"MBSA sangat aktif menganjurkan program seni dan budaya untuk kelestarian warga Shah Alam," katanya.

Johan pertandingan disandang oleh Mastura Abdul Hamid dan membawa RM800, trofi, hamper dan sijil.

Mastura juga akan mewakili Negeri Selangor di peringkat kebangsaan.

Sementara, pemenang tempat kedua dan ketiga dimenangi Khadijah Ishak dan Nur Fatin Akmal Ahmad Sukri

Masing-masing meraih wang tunai RM500 dan RM300 selain trofi, hamper dan sijil.