Lapor kandungan berbaur 3R di media sosial kepada SKMM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa orang ramai supaya tampil melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) di media sosial terus kepada suruhanjaya itu.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan laporan itu boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-220 6262 atau e-mel kepada mediasosial@mcmc.gov.my.

Menurutnya, platform itu akan memudah dan mempercepatkan proses tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kandungan 3R dengan kerjasama pihak berkepentingan.

Orang ramai diminta mengambil tangkapan skrin dan pautan (URL) kepada kandungan yang tidak berhemah di media sosial dan hantar ke talian atau e-mel berkenaan.

Bagi kandungan negatif yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp, mereka perlu mengambil tangkapan skrin berserta nombor telefon individu bagi tujuan aduan, menurut SKMM.

Suruhanjaya itu seterusnya mengingatkan orang ramai agar mengamalkan sikap kesederhanaan ketika mengulas mengenai isu sensitif bagi memelihara keharmonian dan kedamaian yang dicapai melalui persefahaman yang dibina sejak 62 tahun lepas.

Ia menegaskan bahawa sebarang ulasan dan penyebaran kenyataan berunsur negatif serta mengancam perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu dihentikan segera demi kepentingan bersama. - Bernama

Artikel Berkaitan: