Mufti kesal AJK masjid tak hadir taklimat

Laporan Sinar Harian 21 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian 21 Jun lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor terkilan dan kesal apabila Ahli Jawatankuasa Qaryah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar tidak hadir ke taklimat berhubung isu masjid tersebut.

Wan Salim berkata, taklimat yang diadakan pada 16 Ogos lalu di Dewan Mesyuarat Mahkamah Syariah, Jalan Batu Gantung sepatutnya dihadiri semua ahli jawatankuasa masjid tersebut, namun hanya tiga ahli yang hadir.

Menurutnya, lebih dikesali apabila majoriti ahli jawatankuasa kariah masjid tersebut mengadakan bantahan terhadap isu sama di ruang legar Komtar ketika taklimat itu disampaikan Jabatan Mufti Pulau Pinang.

"Taklimat itu bertujuan membincangkan isu tanah wakaf, pembinaan masjid baru dan jajaran transit aliran ringan (LRT) yang melintasi kawasan tersebut, namun hanya tiga ahli jawatankuasa yang hadir.

"Majoriti ahli jawatankuasa tidak hadir di taklimat tersebut dan dalam waktu sama mereka meneruskan bantahan terhadap projek berkenaan dengan mengadakan demonstrasi di ruang legar Komtar. Kita menjemput semua ahli jawatankuasa ke taklimat tersebut," katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Katanya, taklimat itu diadakan untuk menjelaskan keadaan sebenar mengenai isu pembinaan masjid baharu di kawasan tersebut dan projek jajaran LRT Bayan Lepas.

"Sebelum ini ahli jawatankuasa kariah masjid salah faham mengenai keputusan fatwa yang dibuat Jawatankuasa Negeri Pulau Pinang pada 12 Februari 2014 disebabkan berlaku kesilapan dalam menentukan kawasan sebenar masjid asal Sungai Nibong Besar.

"Ketika itu mesyuarat tersebut memutuskan bahawa masjid baharu Sungai Nibong Besar perlu dibina di atas tapak masjid lama, sedangkan semakan di Pejabat Tanah dan Galian Daerah Timur Laut mendapati masjid lama terkeluar dari tapak asal dan memasuki tanah rizab jalan milik kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Salim berkata, mesyuarat itu juga memutuskan ruang masjid yang tidak terlibat dengan pembinaan jajaran LRT perlu diserahkan kerajaan negeri kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk dijadikan tanah wakaf.

Menurutnya, mesyuarat itu turut memutuskan mana-mana ruang masjid asal yang tidak dapat dimasukkan ke dalam pembinaan masjid baharu hendaklah dipagar dan dipelihara kehormatannya sebagai masjid juga.

"Selain itu, masjid baharu perlu dianjak beberapa meter ke hadapan bagi menjadikan ruang solat lebih luas. Sementara itu, tanah kerajaan sekitar Jalan Lintang Nipah yang terletak di sebelah kiri masjid hendaklah diberi peletakan hak sebagai sebahagian tanah wakaf juga.

"Butir-butir inilah yang ingin dimaklumkan kepada ahli jawatankuasa kariah masjid. Bagaimanapun, mereka enggan menghadiri taklimat tersebut dan terus membantah projek jajaran LRT yang kononnya membabitkan kawasan masjid dan tanah wakaf di situ," katanya.

Katanya, dengan penjelasan yang diberikan, ia dapat menghapuskan kekeliruan anak kariah Sungai Nibong Besar berhubung isu itu.

"Kita harap anak kariah Sungai Nibong Besar khasnya dan masyarakat Islam Pulau Pinang tidak lagi keliru berhubung rancangan pembinaan masjid baharu Sungai Nibong Besar dan jajaran LRT Bayan Lepas.

"Semoga umat Islam di negeri ini dapat bersama kaum lain menikmati kehidupan lebih selesa dan ceria dengan hasil pembangunan serta kemajuan yang sedang rancak dilaksanakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selepas ini," katanya.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Qaryah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar mendesak kerajaan negeri mengikut pelan asal cadangan jajaran LRT Bayan Lepas di kawasan masjid tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Jajaran LRT: Desak kerajaan negeri guna pelan asal

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan kerajaan negeri akan sentiasa menghormati setiap garis panduan hukum-hakam Islam dengan merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebelum membuat keputusan rasmi berhubung cadangan jajaran LRT tersebut.

Kon Yeow berkata, jajaran LRT Bayan Lepas masih berada di peringkat kajian dan lawatan tapak di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini hanya sebahagian daripada tinjauan awal.